Followers

Wednesday, 8 May 2013


 

Sekolah Perlu Menangani Perubahan

Tanggungjawab sistem pendidikan adalah untuk menyediakan generasi muda dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran supaya mereka dapat menghadapi alam dewasa. Dalam konteks menyediakan pendidikan yang ideal, tujuan dan matlamat pendidikan negara pada abad ke 21 amat jelas sekali. MARA melalui Bahagian Pendidikan Menengah MARA (BPM) telah menyusun dan merancang untuk memperbaiki, memperkukuh, dan mempertingkatkan mutu pendidikan negara sesuai dengan perubahan sosialisasi masyarakat hari ini. Salah satu unsur yang penting adalah memberikan peluang pendidikan yang sama kepada semua pelajar tanpa mengambil kira budaya, kelas sosial, kelompok etnik dan amalan atau cara hidup.

Sepanjang penubuhan MRSM sehinggalah ke hari ini , MRSM telah berjaya mencapai banyak kemajuan khususnya dalam penyediaan infrastruktur, kemudahan pendidikan dan latihan perguruan. Walau bagaimanapun, apa yang dilihat pada masa ini masih terdapat pelbagai isu yang ditimbulkan berkaitan dengan pencapaian MRSM, antaranya perkara berhubung dengan struktur pendidikan; akses kepada pendidikan; ekuiti; kualiti tenaga pengajar; ketidakseimbangan penyediaan infrastruktur dan kurikulum yang relevan. Ini selaras dengan pendapat Sufean (2004) yang menyatakan terdapat banyak isu pendidikan yang boleh dikatagorikan iaitu pentadbiran, peringkat pendidikan, teknologi pendidikan, organisasi sekolah dan keguruan.

Struktur Pendidikan

Beberapa isu berkaitan dengan struktur pendidikan di MRSM, antaranya termasuklah struktur pendidikan menengah yang tidak selaras kurang menepati keperluan, misalnya:

  • Bilangan tahun persekolahan struktur pendidikan Malaysia tidak sama dengan kebanyakan negara lain di dunia;
  • Tidak terdapat keseragaman dalam kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) disebabkan wujudnya pelbagai haluan/aliran;
  • Skop kurikulum Tingkatan 1 hingga 5 sangat luas.

Dalam hal ini, kajian yang mendalam berkaitan ius struktur pendidikan di MRSM perlu dilakukan untuk melihat keperluannya kepada seseorang pelajar. Seseorang pelajar mempunyai tahap pencapaian pendidikan yang berbeza antara satu sama lain. Sewajarnya struktur pendidikan di MRSM juga mengikut kepada kecenderungan pelajar yang ada.

Akses  Pendidikan


Selaras dengan perkembangan teknologi semasa, MARA telah memperkenalkan Teknologi Maklumat dan Komunikasi atau Information and Communication Technology (ICT) dalam pendidikan yang meliputi aspek prasarana, pengisian dan latihan guru. MARA telah melaksanakan pelbagai projek ICT dengan pembekalan komputer sebagai aktiviti utama

 

 

penyediaan infrastruktur ICT. Namun isu dan masalah yang menjejaskan usaha penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Antara masalah tersebut adalah berkaitan dengan:

  • pembekalan komputer yang tidak seimbang antara MRSM;
  • perisian komputer untuk P&P yang sesuai sukar diperoleh;
  • latihan dalam perkhidmatan untuk guru mengendalikan sistem komputer di sekolah yang kurang berkesan;
  • penyenggaraan komputer yang kurang memuaskan di sekolah; dan
  • bilangan guru terlatih dalam ICT yang belum mencukupi.

Dalam isu ini MARA telah mengambil pendekatan untuk membekalkan setiap orang guru dengan sebuah laptop. Kemungkinan juga, MARA akan membekalkan kepada setiap pelajar sebuah note book. Justeru adalah menjadi cabaran kepada MRSM untuk memastikan setiap pelajar dan guru-guru menggunakan kemudahan ICT yang ada secara berkesan.

Ekuiti Pendidikan


Dalam pelaksanaan Pembangunan Pendidikan Menengah di MRSM, setiap MRSM akan dipastikan mempunyai infrastruktur yang berkesan yang mencukupi dan berkualiti untuk pelaksanaan kurikulum dan kokurikulum yang berkesan. Oleh itu, input pendidikan yang meliputi guru, peruntukan kewangan, bahan dan peralatan pengajaran serta program sokongan akan diagih secara adil ke semua MRSM bagi mengurangkan jurang perbezaan antara MRSM yang melaksanakan Program Khas Pembelajaran (PKP) dengan MRSM biasa.

Namun, setelah sekian lama pelaksanaan program tersebut, masih terdapat MRSM yang belum dapat menikmati kemudahan yang dijanjikan. Ini menyebabkan timbulnya beberapa isu yang dikaitkan dengan ekuiti atau peruntukan yang disediakan oleh MARA tidak mencukupi untuk pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Sebagai contoh, MARA tidak menyediakan prasarana yang standard dan amat diperlukan, seperti bilik darjah yang mempunyai kemudahan khusus, terutamanya di MRSM-MRSM yang telah lama ditubuhkan. Selain itu, kemudahan lain seperti sumber pengajaran dan pembelajaran dan kelengkapan buku teks juga masih berkurangan.

 

Tenaga Pengajar

Kekurangan tenaga pengajar yang berkemahiran turut menjadi isu dalam pelaksanaan pendidikan pendidikan yang berkesan. Kebanyakan MRSM masih lagi mengalami kekurangan guru mengikut subjek terutama bagi subjek-subjek yang kritikal. Terdapat juga ramai guru-guru MRSM yang kurang berpengalaman atau kurang latihan. Keadaan ini juga turut menyebabkan berlaku ketidaksepadanan (mismatch) dalam pengagihan guru mengikut opsyen. Disebabkan kurang pengalaman dan pengetahuan, maka kewibaan guru dalam menyampaikan ilmu kepada pelajar mula dipertikaikan.

Kesan Globalisasi


Selain daripada itu, isu-isu berkaitan pendidikan juga turut melibatkan penggunaan internet. Era dunia tanpa sempadan atau globalisasi telah memudahkan maklumat diperoleh dengan cepat dan berkesan melalui internet atau laman-laman web dan sebagainya melalui komputer. Implikasinya, isu-isu Moral semasa khususnya isu-isu yang membabitkan nilai-nilai sosial menjadi begitu kompleks dan menjadi sukar untuk diselesaikan. Fenomena ini disebabkan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia yang ingin diterapkan bercanggah dengan nilai-nilai di Barat atau negara-negara maju yang lain yang mana mereka lebih mementingkan materialistik, individualistik dan budaya kosmopolitan.

SahsiahPelajar


Kualiti sahsiah pelajar pada pelbagai peringkat pendidikan juga turut menjadi isu dan dipersoalkan kerana masih terdapat sebilangan pelajar rendah yang naik ke sekolah menengah, atau pelajar menengah rendah yang naik ke Tingkatan 4 memiliki kualiti sahsiah yang kurang baik. Hal ini berlaku pada kebanyakan murid tanpa mengira kaum dan agama. Sebagai contoh, tabiat merokok di kalangan pelajar, gejala vandalisme, melepak, ponteng sekolah dan sebagainya di kalangan pelajar sekolah semakin menjadi-jadi.

Penutup

Untuk menangani isu-isu perubahan yang berlaku, pengetua haruslah memainkan peranan yang penting dan proaktif. Terdapat banyak cara untuk menghadapi perubahan yang berlaku iaitu dengan membentuk satu kumpulan formal disekolah khusus untuk menangani isu-isu perubahan ini. Sekolah pada masa kini tidak perlu lagi bersifat tertutup, tetapi haruslah dibuka untuk menjadi sebahagian komuniti dalam masyarakat. Banyak isu boleh diselesaikan secara bersama dengan masyarakat atau komuniti setempat.

 

No comments:

Post a Comment