Apakah Yang Anda Faham
Dengan Sekolah Berkesan & Penambahbaikan Sekolah
Konsep Sekolah Berkesan
Terdapat
pelbagai definisi sekolah berkesan.Sekolah berkaesan ditafsirkan dengan
pelbagai maksud mengikut persepsi pengkaji yang berbeza-beza terhadap apa yang
dikehendaki oleh mereka. Namun, tumpuan
utama mereka terhadap konsep sekolah berkesan adalah dari aspek pembolehubah
dapatan. Misalnya kajian awal mengenai
sekolah berkesan di Amerika Syarikat dan Britain (seperti Burtein & Knapp,
1975 dan Edmonds, 1979a) telah melihat institusi sekolah dari perspektif
ekonomi kerana ketika itu bermulanya zaman perindustrian di negara-negara barat
(Chrispeels, 1992: Robinson, 1998).
Justeru, tumpuan kajian mereka adalah lebih kepada produk yang
dihasilkan oleh pihak sekolah untuk memenuhi permintaan pasaran tenaga kerja
(Townsend, 2001). Dengan kata lain,
takrifan awal mengenai sekolah berkesan adalah tertumpu kepada aspek-aspek
kualiti dan ekuiti atau kesaksamaan dalam pendidikan bagi melahirkan sumber
manusia yang berkemahiran tinggi dalam bidang vokasional (Burstein & Knapp,
1975; Edmonds, 1979a, 1979b; Edmonds & Frederiksen, 1979; Hare, 1998;
Sharifah Md Nor, 2000; Silver, 1994).
Selanjutnya, institusi sekolah
dilihat dari perspektif sains organisasi kerana masyarakat ketika itu
(pertengahan 1970-an) telah mula mengenali konsep pengurusan. Mereka mengaitkan definisi sekolah berkesan
dengan sistem hubungan sesama manusia dalam sesebuah organisasi yang memnpunyai
aspek-aspek berikut iaitu: (a) kepuasan bekerja (b) pihak pentadbiran
organisasi yang mementingkan perkembangan profesionalisme staf, dan (c)
penglibatan bersama dalam proses membuat keputusan (Scheerens, 1992,
2005). Pada tahun 1980-an, gelombang
gerakan sekolah berkesan amat mempengaruhi pendefinisian mengenai sekolah
berkesan. Pengkaji sekolah berkesan
ketika itu telah mendefinisikan sekolah berkesan sebagai tempat yang berupaya
untuk memproses pembolehubah input ke arah kejayaan menerusi penanda aras yang
piawai (Scheerens, 2005). Sebagai contoh, Mortimore
(1998) telah menemui faktor-faktor sekolah dan bilik darjah merupakan faktor
penyumbang kepada kejayaan murid yang diukur menerusi dua aspek berikut iaitu:
(a) kemajuan positif terhadap diri murid telah berlaku sepanjang mereka belajar
di sekolah, dan (b) kemajuan positif tersebut berlanjutan sehingga mereka
menamatkan pengajian.
Dalam konteks Malaysia pula, konsep
sekolah berkesan digambarkan menerusi pelbagai pengiktirafan dalam bentuk
anugerah sama ada di peringkat negeri mahupun kebangsaan seperti Sekolah
Harapan Negara dan Sekolah dalam Taman (Kementerian Pendidikan Malaysia, 1997a,
1977b) dan terkini adalah Sekolah Kluster dan Sekolah Berprestasi Tinggi. Penganugerahan tersebut adalah berdasarkan
pencapaian sebenar sesebuah sekolah yang melebihi pencapaian yang dijangkakan
(Ibrahim Md. Noh, 1998) dari aspek-aspek berikut iaitu (a) akademik, (b)
sahsiah diri, dan (c) kemahiran sosial melalui pemupukan tradisi budaya dan
watak sekolah itu sendiri yang bertepatan denga Falsafah Pendidikan Kebangsaan
(Abdul Shukor Abdullah, 1998).
Oleh yang demikian,sekolah berkesan dapat
ditakrifkan berasaskan keperluan semasa iaitu: (a) dari aspek ekonomi, sekolah
berkesan ditakrifkan sebagai organisasi yang berupaya untuk meningkatkan
pencapaian murid bagi memenuhi keperluan pasaran tenaga kerja, (b) dari
perspektif pengurusan pula sekolah berkesan dinilai dari aspek tahap hubungan
sesama manusia yang tinggi, (c) dari sudut pendidikan, sekolah berkesan adalah
sesebuah organisasi yang berupaya untuk meningkatkan pencapaian murid
bertepatand engan penanda aras yang piawai, dan (d) dalam konteks di Malaysia
pula sekolah berkesan adalah organisasi yang berjaya untuk meningkat kemajuan
diri murid secara berterusan dan usaha tersebut akan diberi pengiktirafan.
KONSEP PENAMBAHBAIKAN SEKOLAH
Usaha-usaha untuk malakukan penambahbaikan sekolah telah yang wujud sejak lebih 30 tahun lalu. Ia telah
memberikan impak kepada takrifan penambahbaikan sekolah berdasarkan beberapa peringkat
mengikut Hopkins dan Reynolds (2002) serta Sashkin dan Egermeier (1992) Peringkat-peringkat
itu ialah:
( a) Peringkat
pertama (pertengahan tahun 1960-an)
Pada
peringkat ini, penambahbaikan sekolah lebih memberikan tumpuan kepada
pembolehubah proses atau strategi untuk meningkatkan proses P&P guru dengan
perubahan yang dilakukan terhadap kandungan kurikulum. Usaha-usaha ini menemui
kegagalan disebabkan faktor-faktor berikut iaitu:
(i)
guru tidak dilibatkan secara
bersama dalam panel pakar yang melaksanakan proses penambahbaikan tersebut
(ii)
latihan dan kursus yang
disediakan kepada guru tidak mencapai matlamat program
(iii)
guru masih melaksanakan
proses P&P berdasarkan pengalaman-pengalaman pembelajaran lalu yang
berkaitan dengan kurikulum lama; dan
(iv)
sesetengah guru tidak
menerima agihan kurikulum yang telah diperbaiki daripada pihak atas.
( b) Peringkat
kedua (pada tahun 1970-an)
Di
peringkat ini, konsep penambahbaikan sekolah masih lagi memberikan tumpuan
kepada pembolehubah proses, namun penekanan pada peringkat ini adalah dari
aspek perancangan. Harris (2002)
mengatakan perubahan yang dilaksanakan ketika itu adalah dengan memberi penekanan
kepada strategi penambahbaikan. Usaha-usaha ini dijalankan dengan perancangan
rapi menerusi usaha mendokumenkan setiap penambahbaikan dan menghantar guru
untuk menjalani latihan bagi meningkatkan tahap pengetahuan dan komitmen agar
mereka dapat menyesuaikan diri dengan kurikulum baru.
( c) Peringkat
ketiga (akhir tahun 1970-an sehingga pertengahahn tahun 1980-an)
Selanjutnya,
konsep penambahbaikan sekolah dalam peringkat ketiga ini merupakan satu takrifan
yang dianggap mantap. Purkey dan Smith
(1983), Sashkin dan Egermeir (1992) serta Wilson dan Corcoran (1988) bersetuju
dengan pandangan tersebut dengan mengatakan peringkat ini dikenali sebagai
tempoh kejayaan kerana dapatan kajian dalam Gerakan Keberkesanan Sekolah
digunakan bagi mengenal pasti strategi-strategi untuk membangunkan
sekolah. Namun, pada peringkat ini juga,
matlamat untuk memperbaiki sekolah masih kurang berjaya kerana perubahann hanya
berlaku terhadap sesetengah pembolehubah proses atau tidak secara menyeluruh
(Coronel, 1996; Stoll & Gink, 1996).
Bertepatan dengan peringkat
perubahan yang berlaku dalam memberikan takrifan konsep penambahbaikan sekolah,
dapat dirumuskan bahawa konsep tersebut lebih menekankan pembolehubah proses
dengan bermaksud segala usaha atau strategi yang dijalankan untuk menjadikan
sesebuah seklah sebgai tempat yang lebih baik.
Barth (1990) dan Hopkins et. al. (1994) bersetuju dengan kenyataan
tersebut dengan mengatakan pengkaji sekolah berkesan ketika itu lebih menumpukan
pembolehubah proses berbanding dengan pembolehubah dapatan bagi mendefinisikan
konsep penambahbaikan sekolah kerana pembolehubah proses adalah sumber utama
untuk mencapai sesuatu dapatan.
Misalnya, kajian Harris (2002) berbentuk meta analisis ke atas 200 buah
kajian lampau telah menemui faktor-faktor penyumbang kejayaan sekolah seperti
mana berikut yang direncana strateginya bagi meningkatkan pencapaian murid
iaitu: (a) faktor sekolah yang melibatkan strategi untuk meningkatkan
pencapaian visi dan misi, pengharapan serta manusia, dan (b) faktor guru yang
melibatkan strategi untuk meningkatkan amalan di dalam bilik darjah serta
memberikan hak dan tanggungjawab kepada murid.
d) Peringkat
keempat (fasa terkini)
Fasa
ini memberikan penekanan kepada proses mengurus perubahan. Fasa ini dikatakan sukar kerana ia
memperlihatkan penglibatan sebenar dalam pembangunan sekolah. Kajian yang terbaik dalam perubahan
pendidikan adalah datang daripada orang yang benar-benar terlibat dalam
perubahan pendidikan. Antara
strategi-strategi yang berkesan dalam menggerakkan dan mempromosi kemajuan
pendidikan adalah:
i.
Latihan yang konkrit dan
berpusatkan guru serta latihan bersifat lanjutan.
ii.
Pembantu kelas (bilik
darjah) yang terdiri daripada kakitangan tempatan.
iii.
Pemerhatian guru ke atas
projek-projek dan aktiviti yang sama di dalam bilik darjah, sekolah dan daerah-daerah yang
berbeza.
iv.
Mengadakan mesyuarat secara
tetap dan memberi tumpuan kepada isu-isu yang berguna.
v.
Mengembangkan bahan-bahan
projek.
vi.
Penglibatan pengetua dalam
latihan.
vii.
Penglibatan guru dalam
menentukan keputusan berkaitan projek-projek.
Pelaksanaan
dalam menentukan polisi-polisi baru penting bagi memastikan pencapaian
pelajar. Apa yang diperlukan adalah
strategi yang bersifat pelaksanaan yang mesra bagi perubahan pendidikan.