Followers

Wednesday, 8 May 2013


Model Penilaian Keberkesanan dan Penambahbaikan Sekolah -  GarisL. Stoll, & D. Fink, (1996).

Gerakan sekolah berkesan pada era ini lebih menumpukan penilaian ke atas sesuatu amalan penambahbaikan oleh pihak sekolah itu sendiri kerana pihak luar sekolah tidakk mengetahui kemampuan yang dimiliki oleh sesebuah sekolah itu menerusi proses penilaian kendiri.  Pandangan Purkey dan Novak (2003), Stoll dan fink (1996) serta Stoll dan Reynolds (2000) menyokong kenyataan tersebut dengan mengatakan kerangka kerja terdahulu mengenai sekolah berkesan hanya tertumpu kepada pengaruh pembolehubah proses dan konteks ke atas pencapaian murid, namun kerangka kerja terkini bukan hanya mengambil kira aspek-aspek terdahulu dalam gerakan masing-masing malah memberikan satu garis panduan kepada pihak sekolah untuk menilai sendiri
pelaksanaan amalan penambahbaikan mereka. Stoll dan Fink (1996) mengatakan model tersebut dibina untuk membimbing sekolah agar mereka berupaya untuk menilai sendiri amalan sekolah berkesan menerusi tindakan-tindakan seperti berikut:
i) Permulaan

Pada peringkat permulaan, data dan maklumat merupakan sumber utama yang diperlukan untuk menjalankan aktiviti penambahbaikan sekolah.  Pihak sekolah perlu mengumpulkan seberapa banyak data dan maklumat dan memahami matlamat mengumpul data tersebut agar dapat melaksanakan proses penambahbaikan dengan cekap dan berkesan.

ii) Penilaian ke atas proses penambahbaikan

Data yang dikumpul tadi perlu diproses agar ia menjadi maklumat yang memberi makna.  Data tadi diproses dan melalui setiap peringkat sama ada di peringkat pertengahan (amalan penambahbaikan sekolah) sebelum tiba di peringkat penilaian (pembolehubah dapatan pertengahan ) (Stoll & fink, 1996; Stoll & Reynolds, 2000).

iii) Dapatan pertengahan

Dapatan pertengahan ini adalah untuk menilai pencapaian pelaksanaan pembolehubah proses.  Aktiviti penilaian tersebut akan menghasilkan dua situasi iaitu (i) sekiranya gagal untuk melaksanakan amalan sekolah berkesan, pembetulan perlu dilakukan pada mana-mana peringkat, atau (ii) penstrukturan dan pembudayaan semula ke atas sekolah akan berlaku sebelum tiba ke peringkat dapatan akhir sekiranya pihak sekolah berjaya untuk melaksanakan kesepaduan terhadap pembolehubah proses (Visscher & Coe, 2003).  Misalnya, budaya bersukan untuk prestasi tinggi wujud implikasi daripada sokongan semua pembolehubah proses seperti kepimpinan pengetua yang profesional, persekitaran sekolah yang kondusif dan penumpuan terhadap proses latihan pengajaran dan pembelajaran serta latihan.  Akhirnya, situasi tersebut melahirkan masyarakat atau organisasi pembelajaran (Stoll & fink, 1996).  Walaupun bersukan, mereka juga perlu belajar dan memahami apa yang diajar oleh jurulatih.

iv) Dapatan akhir (pencapaian murid)

Sekolah yang berjaya mencapai dapatan pertengahan akan berjaya untuk membina semula struktur dan budaya sekolah.  Dengan itu, secara sendirinya mereka akan mendapat jawapan bagi soalan “apakah hasil persekolahan?”.  Maslowski (2001) dan Reezight (2001) menegaskan dapatan akhir atau produk yang seharusnya dihasilkan oleh sekolah adalah dalam bentuk (i) pencapaian akademik dan sosial murid yang menjadi ukuran matlamat utama sekolah; (ii) nilai tambahan yang diperolehi oleh pihak sekolah; (iii) tahap pencapaian sekolah yang tinggi berdasarkan piawai bagi sesebuah sekolah yang cemerlang; (iv) penekanan terhadap kesamarataan dalam menikmati pembelajaran; dan (v) proses penambahbaikan yang berlaku sepanjang masa.
           
Kesimpulannya, kerangka teori dalam Gerakan Keberkesanan dan Penambahbaikan Sekolah amat menekankan gabungan semua pembolehubah input yang diproses bagi mewujudkan semula struktur dan budaya sesebuah sekolah sebelum meningkatkan pencapaian pelajar dan sekolah.

No comments:

Post a Comment