Followers

Saturday, 20 April 2013


Definisi Budaya

Secara meluas budaya telah dipersetujui sebagai sesuatu yang abstrak dan kompleks. Budaya ialah satu set nilai yang dikongsi bersama, tidak statik, ia wujud dan berubah apabila organisasi berubah,  Budaya organisasi terbentuk daripada orang-orang di dalamnya, etika, jenis strukutur dan persekitaran organisasi yang menentukan cara ahlinya bertindak , bergelagat serta mempunyai makna yang luas yang dipegang oleh setiap ahli.  Budaya mempunyai kesan yang positif terhadap keberkesanan organisasi apabila ianya menyokong matlamat organisasi yang dikongsi secara meluas dan diterima oleh ahli-ahlinya

 

Kamus Dewan (1998), mendefinisikan budaya sebagai tamadun, peradaban, cara berkelakuan dan berfikir yang menjadi amalan di dalam kehidupan ahlinya.  Ogbonna dan Haris (2002) dlm Zafir,Hisham dan Fazilah (2009) mendefinisikan budaya sebagai kumpulan kepercayaan, makna dan tanggapan yang dikongsikan bersama oleh sekumpulan masyarakat.  Manakala Torrington dan Weightman (1989 ) pula berpendapat budaya organisasi ialah ciri-ciri semangat dan kepercayaan organisasi yang ditunjukkan, contohnya norma dan nilai yang dipegang bersama mengenai bagaimana manusia harus melayan antara satu sama lain, kebiasaan hubungan kerja yang harus dibina dan sikap yang hendak diubah.

 

Robbins (1998) menyatakan budaya ialah satu sisiem dimana setiap ahli berkongsi makna dan yang membezakan sesebuah organisasi dengan organisasi yang lain.  Schein (1985) mendefinisikan budaya sesebuah organisasi sebagai tanggapan dan kepercayaan yang dikongsi bersama oleh ahli-ahli organisasi, berlaku secara tidak disedari, dan dalam bentuk 'taken-for-granted' sesebuah organisasi itu melihat persekitaran dan dirinya sendiri"

 

 

 

 

 

Elemen Budaya

Hodge, et al ( 2003 ) dlm Zafir (2009) berpendapat terdapat dua elemen dalam budaya.  Elemen yang pertama ialah elemen budaya yang boleh dilihat (observable) ) atau nyata terdiri daripada amalan iaitu aktiviti atau perayaan yang dilakukan secara berulang-ulang seperti bacaan yassin di sekolah sebelum peperiksaan awam dijalankan.  Cerita berdasarkan peristiwa sebenar yang berlaku seperti sejarah penubuhan sekolah atau hal yang boleh dibanggakan seperti menjadi sekolah harapan negara.  Bahasa bukan sahaja secara lisan tetapi termasuk juga cara berpakaian.  Simbol seperti logo dan moto yang memberi makna tertentu.  Sosialisasi ialah proses menerapkan budaya kepada warga baru termasuk. 

 

Elemen yang kedua ialah eleman budaya yang tidak boleh dilihat (unobservable) atau tersembunyi seperti norma, nilai dan tanggapan/andaian yang dikongsi bersama oleh ahli-ahli organisiasi.  Norma ialah peraturan atau gelagat yang boleh atau tidak boleh ditonjolkan seperti Pengetua jangan kritik/marah guru di depan orang murid atau guru mesti berada dalam kelas mengikut jadual.  Nilai ialah kepercayaan sesuatu perkara itu penting dan bermakna seperti komitmen kepada tugas dan memberi hak yang sama kepada murid.  Andaian pula ialah guru boleh membuat keputusan yang betul untuk kepentingan muridnya.

 

Terdapat tujuh sifat yang menjadi tunjang dalam budaya yang menggambarkan sesebuah organisasi.  Sifat yang pertama ialah inovasi/pengambilan risiko  yang mengambarkan darjah atau tahap pekerja digalakkan untuk kreatif dan mengambil risiko.  Kedua ialah kestabilan, darjah di mana organisasi mengekalkan keadaan asal berbanding pertumbuhan.  Perhatian terperinci , darjah dimana pekerja mempamerkan  ketepatan.  Keempat ialah orintasi keputusan yang memberi fokus kepada keputusan, cara dan proses mencapai hasil.  Kelima orientasi kemanusiaaniatu kesan keputusan keatas individu dalam organisasi.  Keenam ialah orientasi kumpulan iaitu koloboratif dan penyelesaian  masalah dalam kumpulan.  Akhir sekali ialah keagresifan  iaitu pekerja ditanamkan dengan budaya saing.

 

Budaya Sekolah

 

Budaya sekolah merupakan sebahagian budaya masyarakat kerana sekolah itu lahir

daripada keperluan masyarakat.Semua pelajar sekolah terus didedahkan kepada norma,

nilai, simbol dan bahasa yang akan mencorak masa depan mereka. Budaya sekolah ialah

budaya yang dihasilkan oleh sebahagian pelajar dan sebahagian lagi oleh golongan

tertentu supaya aktiviti pelajar dapat dikawal.  Budaya sekolah ditakrifkan oleh Terry Deal dan Kent Peterson ( 1993 ) sebagai realiti dalaman.  Robbins dan Alvy ( 1995 ) pula meluaskan definisinya sebagai “this inner reality reflects what organizational members care about, what they are willing to spend time doing, what and how they celebrate, and what they talk about.”  Manakala Gary Phillips (1993) menyatakan budaya sekolah sebagai, “beliefs, attitudes, and bahaviours that characterizes a school in terms of : how people treat and feel about each other; the extent to which people feel included ang appreciated; and rituals and traditions refelecting collaboration and collegiality.”

 

Contoh Budaya sekolah

 

Hoy & Miskel (2008) memberikan tiga contoh budaya sekolah

1.         Budaya Efikasi

Budaya efikasi ialah budaya yang mementingkan kesempurnaan.  Norma-norma yang terdapat dalam sekolah  mempengaruhi tindakan, kelakuan, keputusan yang akan memberi kesan kepada pencapaian akademik. Kesempurnaan ini memerlukan guru yang inovatif, akauntabiliti, berkongsi tanggungjawab, kawalan minima terhadap persekitaran kerja dan melibatkan semua pihak termasuk  ibu bapa

 

2.         Budaya Boleh Dipercayai

Kepercayaan adalah aspek yang penting dalam hubungan interpersonal.yang mempengaruhi proses operasi sekolah.  Kepercayaan guru-guru kepada pengetua dapat diukur daripada komitmen yang disumbangkan. Pengetua harus menanam kesetiaan dan kepercayaan ke dalam diri subordinatnya.  Sekolah yang terbuka dan sihat menunjukkan wujudnya kepercayaan guru kepada pengetua, rakan setugas, ibu bapa dan murid-murid.

 

3.         Budaya Kawalan

Kawalan yang dikongsi antara guru dan pengetua ke atas murid-murid.  Budaya kemanusiaan yang menganggap sekolah sebagai komuniti pembelajaran di mana murid belajar melalui interaksi dan pengalaman bersama.  Hubungan komunikasi dua hala yang demokrasi dan ditanamkan dikalangan guru dan murid akan meningkatkan keyakinan dan motivasi; memudahkan  penyelesian masalah dan meningkatkan keseriusan murid untuk belajar.

 

Iklim dan Budaya Sekolah Yang Kondusif

Pusat Perkembangan Kurikulum (1981) menyatakan iklim sekolah yang berkesan mewujudkan sekolah berkesan di mana guru-guru merasa selamat, berpuas hati dan berkeyakinan; guru-guru tidak rasa tertekan; guru-guru mengambil perhatian tentang kemajuan murid-muridnya; pengetua merasa penuh yakin terhadap kerjanya, serta bertimbang rasa dan murid merasa selamat dan belajar bersungguh-sungguh.  Oleh itu memahami budaya sekolah adalah syarat penting untuk sebarang agen perubahan dalaman atau luaran.

 

1.         Kepentingan  Memahami Iklim Dan Budaya Sekolah

 

Budaya  memainkan peranan besar dalam menentukan tingkah laku yang pelbagai (a wide variety of behaviors), sikap dan kepercayaan berhubungan dengan kerja dan tempat kerja  Budaya mempengaruhi prestasi sesebuah organisasi seperti sekolah.  Sepertimana budaya, iklim juga mewujudkan dan memberi kesan positif  kepada gelagat individu seperti peningkatan kesempurnaan diri, kepuasan atau keinginan untuk bekerja bersama.  Atau membawa kesan negatif seperti prestasi kerja di bawah paras purata atau ketidakpuasan yang tinggi dan kekesalan. 

 

Memahami budaya dan iklim sekolah dapat menjadikan panduan kepada pengetua untuk membina strategi motivasi para guru atau murid samada melalui ganjaran, sokongan, pengubahsuaian struktur atau pengagihan tanggungjawab.  Murid yang pandai dan aktif akan mendapat sanjungan daripada guru dan sekolah. Manakala murid yang lemah dan kurang cerdik akan tersisih.  Budaya ini menyebabkan murid ini akan melakukan gelaja negatif bagi menarik perhatian pihak tertentu atau pun untuk melepas naluri yang terhimpit. Mereka bebas memilih budaya-budaya yang dianjurkan oleh rakan sebaya, media massa atau keluarga. Sekiranya mereka memilih budaya negatif, maka akan wujudlah masalah sosial.  Sekolahlah yang menentukan corak budaya yang diamalkan supaya impak yang positif terhasil dan impak yang negatif akan terhindar. 

 

Rahmad (2005) dalam kajiannya menyatakan iklim sekolah memainkan peranan yang amat penting terhadap kepuasan kerja guru.  JIka iklim sekolah dapat diperbaiki, tahap kepuasan kerja guru-guru di sekolah tersebut juga dapat dipertingkatkan dan seterusnya pencapaian murid juga dapat diperbaiki.  Kecemerlangan pencapaian murid akan membawa sekolah kearah keberkesanan. 

 

Iklim dan budaya sekolah yang ditanam kepada warga sekolah dapat membawa ahli-ahli ke satu halatuju untuk pencapaian matlamat (consistent with goals) sekolah atau sebaliknya.  Kesefahaman, kesepakatan keterbukaan yang disemai menjana gelagat produktif dalam melaksanakan program-program sekolah dan ia merupakan satu penentuan bagi kejayaan sesebuah sekolah dalam jangka panjang.

 

2.         Peringkat Pembentukan Budaya

 

Pembudayaan di sekolah dilaksanakan menerusi kurikulum formal dan kurikulum tidak formal. Budaya formal sekolah adalah apa yang dirancang seperti aktiviti kurikulum dan kegiatan kokurikulum. Sekolah yang berkesan perlu mempunyai budaya dan iklim pengurusan yang baik. Setiap sekolah perlu membina budaya dan iklim yang bersesuaian dengan matlamat dan persekitaran sekolah tersebut

 

Schein menyatakan individu menubuh kumpulan untuk memenuhi keperluan. Kumpulan ini mempunyai matlamat, nilai dan juga harapan, ia membangun melalui pelbagai peringkat dan ini memberi kesan kepada budaya.  Perkembangan dan kesinambungan kumpulan itu bergantung kepada cara kumpulan itu dapat mengekalkan nilai dan norma yang menyatukan mereka sebagai satu kumpulan.

 

Terdapat empat peringkat dalam pembentukan budaya Schein yang boleh diadaptasikan dalam pembentukan budaya sekolah.  Peringkat pertama ialah kebergantungan atau otoriti, iaitu siapa yang ketuai kumpulan.  Andaiannya ialah ketua akan membimbing kumpulan ke arah mendapat faedah yang maksima.  Jika di sekolah pengetua adalah ketua kumpulan yang mencorakan budaya sekolahnya.  Pengetua sendiri mestilah mengamalkan budaya yang positif supaya boleh menjadi ikutan subordinatnya. 

Peringkat kedua ialah perkembangan budaya dimana berlakunya konfrontasi peranan dan perbezaan; hubungan rakan setugas.  Kejayaan menyelesaikan sesuatu isu oleh pemimpin akan membawa kepada rasa  memotivasikan ahli kumpulan ke arah komitmen dan usaha yang lebih tinggi untuk organisasi.  Di sekolah budaya membaca yang disemai dan dikembangkan melalui Program Nilam  dipertanggungjawabkan kepada pelbagai pihak seperi Guru Pusat Sumber, Guru Kelas dan Guru Bahasa membantu menyelesaikan masalah buta huruf.  Kejayaan sekolah mengatasai masalah ini akan dikongsi bersama antara semua guru. 

 

Peringkat ketiga ialah kreativiti dan stability.  Kreativiti dan stabiliti menjadi isu yang dihadapi oleh kumpulan.  Untuk mengekalkan budaya yang positif memerlukan kreativiti.  Seperti Program Nilam di atas walaupun telah diserapkan kepada warga sekolah, program tersebut mestilah dimurnikan lagi seperti memberi hadiah kepada pembaca terbanyak tidak terhad kepada murid sahaja tetapi guru juga diberi penghargaan.  Peringkat keempat ialah peringkat pembangunan.  Budaya yang baik ialah budaya yang fleksible dan boleh diadaptasikan sesuai dengan perubahan dan persekitaran.  Penyatuan budaya diperlukan supaya pembagunan yang konsisten dapat dikekalkan. 

 

Schein (1985) mengenalpasti tiga tempoh pembangunan budaya sekolah yang singifikan. Diawal tahun, sekolah baru, nilai yang domain muncul daripada penubuh/ pengasasnya dan sekolah menjadikannya budaya yang nyata. Nilai ini dikongsikan dengan pendatang baru samada guru, pelajar atau ibu bapa.  Budaya adalah “ glue” yang dipegang oleh semua pihak yang berkepentingan dalam organisasi.  Dipertengahan,  budaya sekolah sudah terbina dengan sempurna tetapi perlu diteruskan mengikut perkembangan dan pembaharuan.  Perubahan boleh berlaku dalam konteks luaran dan dalaman, menjadikannya lebih kukuh atau sebaliknya.  Budaya berubah secara implisit.  Perubahan mungkin lebih menyusahkan kerana kurang  kesedaran terhadap  budaya, dan ianya  sukar untuk difahami. Peringkat Kematangan dan/ stagnation ( tidak bergerak ) dan kejatuhan amat menyusahkan dari perspektif perubahan budaya.  Tahap ini akan sampai sekiranya sekolah sudah berhenti/ tamat untuk berkembang dan bertindak balas kepada persekitaran.

 

3.         Penambahbaikan Budaya Dan Iklim Sekolah

 

Perubahan budaya di sini bermaksud perubahan yang dirancangkan.  Pengurus boleh membuat perubahan yang konsisten dengan objektif strategik organisasi. Strategi perubahan samada dari atas ke bawah iaitu pemimpin atau pengetua menyebar dan membudayakannya kepada subordinat ataupun bawah ke atas di mana guru-guru dan staf bersama-sama membudayakan sesuatu perubahan.  Menurut Miskel terdapat 3 strategi dalam penambahbaikan iklim dan budaya.

 

3.1.      Strategi Klinikal

 

Penambahbaikan menggunakan strategi klinikal melibatkan lima langkah.  Langkah pertama ialah mengumpul pengetahuan dan maklumat berkaitan sekolah.  Pengumpulan maklumat ini boleh dibuat melalui pemerhatian, analisis dan kajian.  Langkah kedua ialah membuat diagnosis atau bedah siasat.  Maklumat yang sudah dikumpul diasingkan mengikut kekuatan, kelemahan dan dilabelkan mengikut kategori seperti tahap moral yang rendah, kesepakatan dan kawalan yang lemah, komunikasi yang bermasalah, ekspektasi pencapaian yang rendah dan lain-lain.  Langkah ketiga ialah prognosis iaitu menilai keseriusan masalah dan membina set operasi mengikut keutamaan bagi menambahbaik situasi tersebut.  Langkah keempat ialah peraturan pemakaian iaitu tindakan yang diambil bagi mengurangkan masalah sesuatu situasi.  Contohnya masalah kurang kesepakatan di kalangan guru.  Pengetua perlu kerap mengadakan majlis atau program yang memerlukan penglibatan semua ahli.  Pengetua sendiri mestilah melibatkan diri daripada awal sehingga akhir program bagi melihatkan penglibatan dan keterlihatan beliau.  Budaya turun padang yang ditonjolkkan oleh pengetua akan menyerap kepada guru-guru lain.  Langkah kelima ialah penilaian ke atas peraturan pemakaian yang telah dijalankan samada Berjaya atau tidak.  Perubahan dalam sistem sosial mengambil masa dan perlu dilaksankan secara beterusan, dipantau dan dibuat penilaian.

 

3.2.      Strategi Pusat Perkembangan

 

Strategi pusat perkembangan melibatkan penerimaan set andaian berkaitan permbagunan personel sekolah dan menggunakan andaian tersebut dalam membuat keputusan pentadbiran.  Set andaian tersebut termasuklah perubahan kepada iklim sekolah yang sihat, mengubah halatuju yang lebih positif, perubahan mestilah perkembangan yang bererti dan andaian guru berpotensi untuk membagun dan melaksanakan perubahan.

 

3.3.      Strategi Perubahan Nilai

 

Nilai dikaitkan dengan kawalan, sokongan, inovasi, hubungan sosial, penghargaan, konflik dan standarad kecemerlangan.  Lima langkah perubahan:mengenalpasti nilai yang ada, menjelaskan halatuju yang baru, mengenalpasti nilai baru yang menyokong penambahbaikan, mengenalpasti jurang budaya (yang sebenar dan yang dikehehendaki), menutup jurang menggantikan nilai yang lama dengan yang baru

4          Budaya dan Iklim dalam Keberkesanan Sekolah

Budaya sekolah memainkan peranan penting terhadap keberkesanan sekolah.  Perubahan dalam sistem pendidikan perlu memberikan perhatian terhadap organisasi sosial yang mengamalkan budayanya.  Manusia dalam organisasi dipengaruhi oleh kuasa luaran (politik dan ekonomi), perubahan dasar pendidikan dan pembangunan teknologi yang pesat.  Sekolah perlu berupaya memenuhi kehendak masyarakat dan bergerak selari dengan perubahan.  Budaya sekolah berubah dengan perubahan amalan warga sekolah.  Proses perubahan melibatkan perubahan perancangan, perubahan kepimpinan sekolah dan perubahan norma-norma.  Menurut Stoll & Fink (1996) budaya sekolah boleh dilihat melalui dimensi keberkesanan sekolah yang dipecahkan kepada lima kategori.

4.1.      Moving Schools

Warga sekolah sentiasa bekerjasama dan melakukan nilai tambah.  Sekolah mempunyai matlamat yang jelas, ada system, warganya ada kemahuan dan kemahiran.  Norma-norma mempengaruhi aktiviti sekolah Matlamat sentiasa disemak semula untuk memastikan memenuhi keperluan pelajar dan perubahan persekitaran luaran.  Pengajaran baru dipratikkan dalam persekitaran yang penuh kepercayaan, kejelekitan dan sokongan.  Risiko dilihat sebagai input dan reaksi proses pembelajaran.  Pemeriksaan pihak luar dinilai sebagai pengesahan, maklumbalas dan peluang untuk pertumbuhan

4.2.      Cruising Schools

Sekolah dilihat berkesan kerana memiliki kualiti-kualiti sekolah berkesan.  Mementingkan pencapaian mutlak berbanding nilai tambah.  Sesetengah sekolah tidak menunjukkan mereka mempunyai nilai tambah yang signifikan untuk pelajar.  Mereka berkongsi banyak persamaan dengan ‘strolling schools’.  Sekolah perlu mengenalpasti matlamat, dengan rujukan spesifik kepada keperluan masyarakat hari ini dan pekerja.  Sikap berpuashati adalah bahaya kepada sekolah berkesan.  Untuk peningkatan khusus, guru-guru menghormati pelajar dengan membawa proses pembelajaran yang terjamin.

 

4.3.      Strolling Schools

Kedudukan sekolah yang sederhana dan cuba bergerak ke arah keberkesanan tetapi tidak cukup menghadapi kadar perubahan yang pesat.  Memerlukan bantuan dan rangsangan luar seperti pengetua yang baru dan dinamik, bantuan steak holders dan sebagainya. Mempunyai warga yang bersikap ‘go with the flow’, ‘apa nak buat’, ‘entahlah’ di kebanyakan tempat.  Guru-guru digalakkan mengambil risiko dan mencuba idea baru.  Guru-guru selesa dengan cara yang sedia ada.

4.4        Struggling Schools

Sekolah yang tidak berkesan, dan semua pihak menyedari hakikat ini dan berusaha sedaya upaya untuk membaiki keadaan.  Berjaya jika dibantu oleh semua pihak kerana mereka sedar akan kelemahan mereka dan  memang memerlukan bantuan.  Mengamalkan budaya bekerjasama, mencari rakan kongsi (ibu bapa, komuniti dan sebagainya) untuk membantu mereka.  Mereka memerlukan perubahan ‘transformatif’ untuk meningkat.  Mementingkan langkah pertama, mengutamakan penghormatan, pengiktirafan dan sokongan, membangunkan semula kepercayaan, keyakinan dan efikasi kendiri, dan keterbukaan pemimpin.  Semua idea diikat dengan tanggungjawab untuk mencapai kejayaan dan jangkaan tinggi untuk terjadi.  Menggerakkan penemuan sub budaya, guru-guru memperkukuhkan dan menyokong pembangunan atau mengekalkan norma orientasi pembelajaran, menggalakkan mencuba dengan rakan sejawat, dan memberi masa bekerja pada setiap orang

4.5.       Sinking Schools

Sekolah tidak berkesan, merosot kerana stafnya tidak kisah dan tidak tahu cara hendak meningkatkan prestasi mereka.  Memerlukan perubahan budaya yang drastik, dan kepemimpinan pengetua yang kreatif dan bijak.  Bantuan dari berbagai-bagai pihak amat diperlukan  supaya sekolah ini tidak terus karam dan tenggelam  Sama seperti struggling schools, tetapi langkah pertama mengambil masa yang panjang.  Setiap pencapaian pembelajaran diraikan. Sokongan dalam kelas ditawarkan kepada setiap orang guru yang mengharapkannya.  Implikasinya berlaku perubahan budaya kepada sekolah.

 

 

 

5.         Situasi –Situasi Yang Menunjukkan Terbentuknya Budaya Dan Iklim Sekolah Yang Kondusif

 

Budaya dan iklim adalah suatu proses yang berterusan dan bersifat evolusi, dan digerakkan oleh tekanan luaran dan potensi dalaman.  Peranan penting pemimpin dalam membangun budaya yang wajib disedari ialah; pemimpinlah yang menggerak dan mengekalkan wawasan yang jelas, visi yang dikongsi dan dibangunkan bersama oleh seluruh ahli organisasi sekolah.  Budaya dan iklim sekolah yang kondusif terbentuk apabila wujudnya elemen-elemen di bawah

 

5.1.   Perhubungan Interpersonal

 

Guru-guru dan murid mempunyai hubungan interpersonal yang lebih positif.  Guru mempunyai semangat kekitaan terhadap sekolah dan bangga menjadi guru di sekolah tersebut.  Mereka sentiasa memandang ke hadapan dalam usaha meningkatkan profesionalisme mereka.  Murid pula merasa seronok dan bangga menjadi warga sekolah tersebut.

 

5.2.    Pengajaran dan Pembelajaran

 

Pengajaran dan pembelajaran dianggap sangat penting oleh guru dan juga murid.  Walaupun mereka mengamalkan panduan kurikulum yang digariskan oleh Kementerian Pelajaran, guru dibenarkan menggunakan kretiviti semasa mengajar.  Murid mengikuti aktiviti pengayaan mengikut keupayaan masing-masing.  Guru-guru adalah inovatif dan kreatif  dalam pengajaran dan amalan penilaian mereka.  Guru dan murid menetapkan ekspektasi yang tinggi dalam pencapaian akademik mereka.

 

5.3.     Kepimpinan Pentadbiran

 

Budaya dan iklim di sekolah yang kondusif, pemimpinnya mempunyai dan mengamalkan  polisi pintu terbuka, di mana idea daripada guru dan murid diambil kira untuk dipraktikkan.  Pengetua melibatkan staf dalam pembuatan keputusan, pengetua juga sentiasa memberi sokongan kepada guru terhadap amalan pengajaran mereka dan menggalakkan mereka menggunakan inovasi dalam kerja seharian mereka.  Pihak pentadbiran mempunyai program pembangunan staf untuk menggalakkan perkembangan profesionalisme di kalangan mereka.  Murid digalakkan bekerjasama dalam aktiviti pembelajaran mereka.

 

5.4.     Kemudahan Fizikal dan Persekitaran

 

Murid dan guru sangat selesa dan berasa selamat ketika berada di kawasan.  Persekitaran sekolah sentiasa berada dalam keadaan bersih, teratur dan tenteram.  Sekolah mempunyai ruang yang mencukupi untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran.  Murid dan guru berpuas hati dan merasa berbangga dengan kemudahan fizikal yang mereka ada dan sentiasa menolong untuk mengekalkan keadaan kemudahan tersebut.

 

5.5.     Pencapaian Murid

 

Pencapaian murid dikesan secara sistematik melalui pemantauan dan penilaian yang teratur dan beterusan.  Pengetua dan guru-guru mengawasi kemajuan murid berfokus berpandukan kepada kehendak dan objektif pengajaran.  Murid digalakkan bertanggungjawab sepenuhnya menguruskan kegiatan seharian mereka, sementara kerja rumah dan latihan diperbanyakkan dan diperiksa oleh guru.  Keutamaan adalah prestasi akademik murid, dan mereka digalakkan belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya.

 

5.6.     Disiplin Sekolah

 

Pelaksanaan peraturan adalah penting untuk mewujudkan persekitaran yang selesa dan harmonis. Sekolah mempunyai suasana disiplin yang teratur tanpa perlu membina peratuan ketat, tenang tanpa penindasan secara amnya adalah selesa untuk proses pembelajaran. 

 

5.7.    Wujudnya Permuafakatan

 

Sekolah yang berkesan di mana semua guru mesti mengambil berat terhadap 'kesihatan' sekolah sebagai organisasi.  Permuafakatan dapat menghindarkan keterasingan guru, sikap pentingkan diri sendiri sehingga tidak mahu mengakui wujudnya masalah atau tidak mahu melihat masalah orang lain.  Dengan permuafakatan guru bersama-sama menyelesaikan masalah dan membuat keputusan di samping menghargai kesaling-bergantungan dan bantu-membantu sesama insan.

 

5.8.      Perkongsian

 

Dalam sekolah berkesan budaya berjalan lebih mirip kepada komuniti berbanding organisasi. Dalam komuniti kejayaan dan kegagalan dikongsi bersama, saling tolong-menolong, dan bertingkah-laku menurut norma-norma dan kepercayaan dalaman.  Satu komuniti bertindak berdasarkan kepercayaan teras yang dipersetujui dan berdiri tegak di atas tapak yang satu.  Keresahan dan ketidaktentuan tentang apa yang patut dibuat, apa tidak patut dibuat, apa yang wajar atau apa pula yang tidak wajar, tidak wujud.  Guru-guru tidak hilang punca dengan hal-hal yang tidak  dijangka atau perkara-perkara bukan rutin, tidak juga mereka menyalahkan orang lain jauh sekali daripada memejamkan mata kepada situasi-situasi yang bermasalah.  Sebaliknya guru-guru mempamerkan sikap keyakinan yang tinggi, mereka tahu di mana mereka berpijak dan langit mana yang mereke junjung.

 

 

5.9       Keyakinan dan Kepercayaan

 

·         Budaya dan iklim sekolah yang kondusif wujud apabila guru mempunyai kepercayaan dan keyakinan terhadap pemimpinnya.  Guru-gurunya penuh yakin dalam tugasnya setiap hari, mereka lebih bersedia menerima cabaran-cabaran, mengambil risiko, dan melahirkan idea-idea kreatif serta rumusan-rumusan.  Ekoran daripada keyakinan ini akan wujud optimisme dan iltizam yang tinggi.  Tempat kerja menjadi lebih menyeronokkan sementara guru-guru mendapat penyempurnaan dan kepuasan profesionalisme daripada kerja-kerja mereka menerusi kawalan kepada penyelesaian masalah dan membuat keputusan, sokongan dari rakan sejawat dan bertambahnya peluang-peluang belajar dengan berkongsi pengetahuan dan pengalaman serta kepakaran.

 

6.0       Kesimpulan

 

 
Budaya dan iklim sekolaha bukan sesuatu yang statik, tetapi  boleh distrukturkan semula.  Semua bergantung kepada sekolah yang setiap satunya berbeza dengan yang lain.  Setiap warga sekolah terutama, pemimpinnya mestilah mengetahui dan memahami budaya sekolah yan g ada; mempertimbangkan budaya sekolah yang menggalakkan kemajuan, pembangunan dan pencapaian pelajar; menyediakan peluang di mana setiap orang boleh berbincang dan semak semula nilai dan norma yang wujud.  Apa yang warga sekolah buat dan fikir menjadi asas mempengaruhi kepercayaan, andaian dan nilai yang membentuk norma-norma.  Pembentukan budaya adalah satu tugas signifikan bagi kepemimpinan seorang pengetua. 

 

Sekolah yang mempunyai iklim dan budaya yang kondusif  dapat menjana sistem sosial yang berkesan.  Kewujudan sistem sosial yang berkesan, menyokong pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran berkesan yang dapat melahirkan modal insan yang berketerampilan dan bersedia untuk menghadapi sebarang perubahan yang berlaku dalam masyarakat. 

 

Thursday, 18 April 2013


 
Apakah yang anda faham dengan sekolah berkesan dan penambahbaikan sekolah?
 
1.0    Pendahuluan

Sekolah berkesan perlu dikaji dan dilihat serta difahami konsep, ciri dan definisinya oleh semua warga pendidikan. Penulisan yang akan saya bentangkan ialah berkaitan dengan peranan  seorang  pengetua dan faktor-faktor lain yang menyumbang kepada sekolah berkesan atau keberkesanan sekolah . Walau bagaimanapun hanya empat aspek yang akan dihuraikan  iaitu aspek kepemimpinan pengetua, iklim sekolah yang kondusif, keberkesanan pengajaran guru dan sikap pelajar-pelajarnya dan sebenarnya keempat-empat faktor ini adalah berkait rapat dengan peranan pengetua.

 

Apabila memperkatakan tentang keberkesanan sekolah, kita tidak boleh lari dari aspek kepemimpinan pengetuanya. Menurut Stoghill (1974), kepemimpinan yang cekap dan berkesan akan dapat meningkatkan kemajuan dan kejayaan sesuatu organisasi. Begitu juga di sekolah di mana pembentukan organisasi sekolah berkesan itu sangat bergantung kepada kepemimpinan pengetuanya.  Ini adalah disebabkan oleh tingkahlaku dan gaya kepemimpinan yang diamalkan akan turut mempengaruhi suasana dan semangat subordinatnya.

 

            Sekolah berkesan di Malaysia adalah dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Selain faktor yang timbul dari keberkesanan kepemimpinan pengetua, faktor efikasi guru dan demografi guru besar juga merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi keberkesanan sekolah. Ini adalah disebabkan oleh seseorang guru besar atau pengetua itu akan melibatkan hubungannya dengan guru  dan pelajar sewaktu memimpin organisasi sekolah ke arah kecemerlangan.

 

            Indikator kualiti yang digunakan untuk mengukur keberkesanan sesebuah sekolah itu selalunya adalah yang berkaitan dengan kecemerlangan pencapaian akademik pelajar, kepemimpinan pengetua, iklim sekolah, strategi dan teknik pembelajaran, budaya dan nilai sesebuah sekolah serta pembangunan staf (Creemers 1997). Selain itu salah satu faktor yang tidak kurang pentingnya menyumbang kepada keberkesanan sekolah ialah keberkesanan  pengajaran guru. Kajian yang dilakukan oleh Stringfield & Teddlie (1987) telah membuktikan hubungan ini.

 

            Kajian berkaitan sekolah berkesan telah mendapat perhatian ramai kerana individu mahupun organisasi tertentu di dalam bidang pendidikan telah menyedari kepentingannya untuk mewujudkan sekolah berkesan dalam kriteria akauntabiliti pendidikan. Ia juga adalah bagi memenuhi matlamat pendidikan negara seperti yang ditekankan di dalam Falsafah Pendidikan Negara.

 

2.0   Definisi, konsep dan ciri sekolah berkesan

 

Keberkesanan sekolah bukan sahaja diukur dari segi kualiti hasil tetapi juga dari segi kesaksamaan (equity), itulah apa yang didefinisikan oleh Edmonds (1979), mengenai sekolah berkesan. Edmonds menyatakan, keberkesanan sesebuah sekolah itu boleh diukur berdasarkan kejayaannya meningkatkan penguasaan akademik kanak-kanak dari keluarga kurang berada sehinggakan kadar bilangan kanak-kanak yang kurang berada yang boleh  menguasai akademik sama seperti bilangan anak-anak kelas menengah yang menguasainya. Sesebuah  sekolah tidak layak diiktiraf sebagai berkesan jika tidak memberi peluang pendidikan yang sama. Berdasarkan kriteria ini, menurutnya, bilangan sekolah di Amerika Syarikat yang boleh dianggap berkesan amat sedikit. Untuk memenuhi kriteria seperti yang diharapkan tidak mustahil jika keseluruhan warga sekolah itu bekerjasama bergerak ke arah pencapaian matlamatnya.

           

Empat cara bagi mengenalpasti sekolah yang berkesan menurut Rowan (1983), ialah: -

 

(1) Menentukan kriteria yang khusus  seperti peratus pelajar yang mencapai lebih

     daripada median kebangsaan.

(2) Analisis tren yang menunjukkan skor dalam gred yang tertentu telah

      meningkat dari semasa ke semasa

 (3) Skor yang meningkat bagi sesuatu kohort

(4)  Pencapaian sekolah berbanding dengan latar belakang pelajarnya.

     Namun begitu definisi yang paling biasa digunakan dalam kajian-kajian tentang keberkesanan sekolah ialah :

Sekolah yang mana sebahagian besar daripada pelajar-pelajarnya mencapai tahap yang tinggi dalam prestasi akademik apabila dibandingkan dengan sekolah-sekolah yang lain.

( Cuttance 1985 ).

Mengikut Jemaah Nazir Sekolah Persekutuan, Kementerian Pendidikan Malaysia, sekolah berkesan adalah berdasarkan pendapat Edmonds (1979), iaitu mempunyai fokus pengajaran yang dinyatakan dengan jelas dan menggunakan penilaian serta penaksiran yang sistematik. Harapan yang diletakkan kepada sekolah yang cemerlang ialah bahawa pelajar-pelajarnya akan belajar dengan baik. Sekolah berkesan juga mempunyai iklim yang teratur dan selamat bagi menggalakkan pengajaran dan pembelajaran serta mempunyai pendidik yang kukuh sebagai pengetua.

      Mortimore (1995), telah memberikan sebelas ciri sekolah berkesan:-

i.                    kepemimpin  profesional.

ii.                  perkongsian wawasan dan tujuan.

iii.                persekitaran pembelajaran dan iklim sekolah yang baik.

iv.                tumpuan kepada proses pengajaran dan pembelajaran.

v.                  Pengajaran yang bertujuan.

vi.                jangkaan kejayaan yang tinggi.

vii.              pengukuhan yang positif.

viii.            pemantauan kemajuan. 

ix.                Menghormati hak dan tanggungjawab pelajar.

x.                  hubungan rumah dengan sekolah.

xi.                organisasi pembelajaran. 

 

Mortimore percaya berdasarkan ciri-ciri tersebut sekolah akan menunjukkan keberkesanannya sebagai sebuah organisasi yang outputnya diukur dari pencapaian dan keberhasilan pelajar meningkat lebih daripada apa yang diharapkan.

 

Shahril Marzuki ( 1997), menyatakan terdapat lima  ciri sekolah untuk membina profil sekolah berkesan di Malaysia mendapati semua faktor tersebut adalah positif . Sekolah yang berkesan mempunyai kepimpinan dan iklim sekolah yang positif (selesa dan selamat), guru-guru menaruh harapan guru yang tinggi terhadap penguasaan kemahiran asas pelajar, kekerapan mengadakan penilaian, peranan persatuan ibu bapa dan guru, dan kemudahan fizikal  (prasarana, kewangan)  sekolah yang baik bagi mempertingkatkan pencapaian pelajar. Berbanding dengan sekolah tidak berkesan mempunyai faktor-faktor tersebut tetapi pada tahap atau darjah yang rendah dan kurang efektif untuk mempertingkatkan pencapaian murid.

 

            Sementara itu Rahimah dan Zulkifli (1996), dalam meninjau sekolah berkesan dan tidak berkesan menggunakan proksi iklim sekolah yang dikaitkan dengan hubungan interpersonel, pengajaran dan pembelajaran, pentadbiran sekolah dan kemudahan fizikal.

 

3.0   Elemen- Elemen Mewujudkan Sekolah Berkesan

                                                                                        

3.1   Peranan Kepemimpinan Pengetua

 

            Kepemimpinan pengetua adalah antara faktor yang menyumbang kepada keberkesanan sekolah. Ini bersesuaian dengan pendapat Alma Haris (2002), yang menyatakan sekolah berkesan adalah hasil dari kepemimpinan pengetua yang bersifat ‘distributed leadership’ iaitu yang berkongsi peranan secara kolektif dengan guru-gurunya untuk kecemerlangan sekolah melalui pencapaian matlamat yang sama. Begitu juga dengan Tay (1984, di dalam Nordin Hj Yahya 2004), yang mendapati kecemerlangan sesebuah sekolah berpunca dari kepemimpinan pengetuanya. Tay juga berpendapat kejayaan sistem pentadbiran sesebuah sekolah adalah bergantung kepada kualiti kemudahan sekolah, kualiti kurikulum, sumber pengajaran, kualiti kepemimpinan pengetua dan kemahiran profesional guru-gurunya. Pembentukan organisasi sekolah yang berkesan sangat bergantung kepada kualiti kepemimpinan pengetuanya. Menurut Stoghill (1974) pula, kepemimpinan yang cekap dan berkesan akan dapat meningkatkan kemajuan dan kejayaan sesuatu organisasi. Ini adalah kerana tingkahlaku dan gaya kepemimpinan yang diamalkan oleh seorang pemimpin itu yang akan mempengaruhi suasana dan semangat kerja pekerja-pekerjanya.

 

            Kajian yang dijalankan  oleh Nordin (2004), ke atas lima buah sekolah menengah bantuan penuh kerajaan mendapati pada keseluruhannya keberkesanan organisasi adalah selari dengan dapatan kajian Ahmad Mohammad Shariff (1989) ke atas sekolah-sekolah vokasional seluruh negara. Nordin mendapati terdapatnya hubungan antara tingkahlaku kepemimpinan pengetua dengan sekolah berkesan. Beliau mendapati pada keseluruhannya di dalam aspek kepemimpinan pengetua, pengetua mengamalkan kepemimpinan yang seimbang dari tingkahlaku permulaan struktur tugas dan struktur konsiderasi. Keberkesanan organisasi sekolah pula pada keseluruhannya berada pada tahap sederhana. Dapatan ini turut disokong oleh hasil kajian terdahulu yang dilakukan.

 

                        Kepentingan tingkahlaku dan gaya kepemimpinan pengetua di dalam mengerakkan sekolah ke arah sekolah berkesan turut dinyatakan oleh Ahmad Zabidi

 ( 2003), di dalam kajiannya mengenai ciri-ciri sekolah berkesan : Implikasinya ke atas pengurusan sekolah agama. Dapatan kajiannya mendapati kepemimpinan pengetua bukanlah merupakan faktor terpenting berbanding kajian sekolah sebelum ini. Hasil kajian Ahmad Zabidi ini menyerupai pandangan Abd. Hamid Othman (1992), yang mendapati kelemahan yang perlu diatasi segera di sekolah-sekolah agama ialah kecekapan dan kelicinan pentadbirannya. Ini sepatutnya menyedarkan pengetua-pengetua untuk meningkatkan kualiti kepemimpinannya dengan mendalami ilmu untuk meningkatkan lagi kebekesanan sekolah kerana peranan pengetua cukup penting seperti mana menurut Abdul Karim Mohd Nor (1989), yang mengatakan peranan pemimpin sekolah amat penting di dalam melahirkan sekolah berkesan.

 

            Peranan pengetua di dalam memimpin guru-guru dan pelajar-pelajarnya ke arah melahirkan sebuah sekolah berkesan juga turut dinyatakan oleh Wu (1989), di dalam kajiannya di Taiwan berkaitan dengan sekolah berkesan. Beliau menyatakan di antara indikator sekolah berkesan itu ialah perancangan dan iklim sekolah, kualiti pengajaran guru, tingkahlaku pelajar, komunikasi pentadbiran, pencapaian akademik pelajar, kepuasan kerja guru, penyusunan kurikulum, hubungan ibu bapa dan sekolah, hubungan guru-pelajar dan  kepemimpinan pengetua. Ini jelas menunjukkan bagi mewujudkan sekolah yang berkesan kepemimpinan pengetua itu adalah antara faktor yang diambil kira dan penting.

 

                        Hussein Mahmood (1993), pula melihat pengetua atau guru besar ialah orang yang terpenting di dalam memimpin sebuah sekolah bagi mencapai matlamat sekolah. Ini jelas menunjukkan yang sesebuah sekolah yang berkesan itu mempunyai stail atau gaya kepemimpinan yang turut berkesan.

 

            Sekolah-sekolah agama di Malaysia juga turut tidak ketinggalan dikaji aspek keberkesanan sekolahnya. Hasil dari kajian yang telah dijalankan oleh Ahmad Zabidi (2003), telah merumuskan sepuluh ciri sekolah menengah agama berkesan iaitu harapan yang tinggi oleh para guru, iklim sekolah yang kondusif, pengukuhan yang positif, kepemimpinan pengetua yang professional, pemantauan yang berterusan terhadap perkembangan pelajar, perkongsian visi dan matlamat yang jelas, program perkembangan staf, penumpuan terhadap kurikulum dan pengajaran, permuafakatan sekolah dan rumah serta akhirnya ialah sikap pelajar yang positif. Kesemua ciri yang dinyatakan menyamai ciri-ciri yang ditemui dalam kajian terdahulu yang dijalankan terhadap sekolah awam dan sekolah vokasional. Antara kelainannya ialah ciri sekolah menengah agama berkesan banyak bergantung kepada sikapp kerja guru berbanding peranan yang dimainkan oleh pengetua. Ini beliau nyatakan sebagai bukan sesuatu yang pelik kerana menurutnya sekolah-sekolah agama mempunyai kekurangan dari aspek kecekapan pentadbiran. Beliau turut mencadangkan agar program latihan kepengetuaan bagi pengetua-pengetua sekolah agama dan aspek yang perlu diberi penekanan ialah aspek pembangunan diri, budaya kualiti, profil pengetua berkesan, komunikasi dan pembinaan pasukan. Melalui latihan dan kursus sebegini dilihat akan mampu meningkatkan lagi kualiti kepemimpinan pengetua untuk menguruskan sekolah sehingga meningkatkan kuantiti sekolah menengah agama berkesan. Ia bersesuaian dengan pendapat Edmonds (1979), “Principals can make a difference”.

 

 

 

3.2  Iklim sekolah yang kondusif

 

            Walau apa pun ciri-ciri sekolah berkesan yang dihasilkan oleh pengkaji-pengkaji, namun begitu, hampir kesemuanya memperkatakan tentang ciri-ciri sekolah berkesan ialah kepemimpinan pengetua, iklim sekolah yang kondusif, peranan guru yang berkesan dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran, sikap pelajar yang positif dan pemuafakatan di antara sekolah dan rumah. Antara kajian yang memperlihatkan akan kepentingan iklim sekolah yang kondusif di dalam mempengaruhi keberkesanan sekolah ialah Rahimah dan Zulkifli (1998) dan Mortimore & Sacknay (1986).

 

            Ini turut ditemui di dalam kajian yang dijalankan oleh Ahmad Zabidi (2003), di mana beliau telah mendapatkan purata nilai min yang kedua tertinggi bagi iklim sekolah yang kondusif di dalam ciri sekolah agama yang berkesan. Kajian beliau juga menunjukkan ciri iklim sekolah turut membantu ke arah keberkesanan sekolah. Dengan itu, warga sekolah perlulah membentuk budaya hidup beragama sebagai iklim sekolah agama berkesan kerana budaya hidup beragama ini bukan sahaja mengatasi masalah disiplin bahkan ia turut membantu meningkatkan prestasi akademik pelajar. Peranan utama perlu dimainkan oleh pengurusan sekolah agama terutamanya pengetua untuk membentuk iklim yang bersesuaian kerana pengetua mempunyai kemampuan untuk melaksanakannya.

 

Iklim sekolah yang berkesan ialah sekolah yang mampu mewujudkan integrasi dan keharmonian sesama pelajar-pelajarnya yang berbeza dan mengurangkan perbezaan sesama mereka. Pengurusan sekolah agama perlu mewujudkan iklim sekolah agama yang disepadukan di antara iklim yang bersifat luaran seperti persekitaran sekolah yang bersih dan cantik serta hubungan komunikasi yang baik dan juga pembentukan iklim dalaman seperti penerapan nilai keagamaan di dalam kehidupan seharian di sekolah. Melalui kesepaduan iklim-iklim ini pihak sekolah bukan sahaja mampu menghasilkan pelajar-pelajar yang cemerlang dari segi akademik bahkan cemerlang dari aspek akhlak dan keperibadian.

 

Dapatan di atas mengenai kepentingan iklim sekolah yang kondusif bagi menghasilkan sebuah sekolah yang berkesan turut diakui oleh Creemers (1997), yang menyatakan antara kualiti indikator mengukur sekolah berkesan ialah melalui pencapaian akademik pelajar, iklim sekolah, nilai dan budaya sekolah, teknik pengajaran dan pembelajaran, kepemimpinan pengetua dan perkembangan staf.

 

Kajian yang dijalankan oleh Wu (2005), di Taiwan turut menyatakan akan kepentingan iklim bilik darjah dan sekolah di dalam menyumbang kepada pembentukan sekolah berkesan. Beliau menyatakan yang iklim sekolah adalah di antara lima penentu utama sekolah berkesan di Taiwan. Menurutnya bagi meningkatkan lagi keberkesanan sesebuah sekolah maka penekanan perlu diberikan terhadap kelima-lima faktor penentu yang dinyatakan termasuklah iklim sekolah yang kondusif.

 

Rahimah dan Zulkifli (1996), juga telah melihat yang iklim dan kemudahan fizikal turut menyumbang kepada sekolah berkesan. Guru-guru dan pelajar-pelajar perlu berasa selesa apabila berada di sekolah. Persekitaran sekolah yang bersih dan berada di dalam keadaan yang teratur akan mengalakkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan bagi melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang dan seterusnya ke arah sekolah yang berkesan.

 

Rahimah dan Zulkifli (1996), dalam meninjau sekolah berkesan dan tidak berkesan menggunakan proksi iklim sekolah yang dikaitkan dengan hubungan interpersonel, pengajaran dan pembelajaran, pentadbiran sekolah dan kemudahan fizikal. Kajian mendapati terdapat perbezaan yang signifikan antara sekolah-sekolah yang dikaji. Tiga daripada empat buah sekolah luar bandar mempunyai skor yang tertinggi untuk skala Perhubungan Interpersonal. Dua daripadanya adalah dari sekolah berkesan manakala satu daripada sekolah kurang berkesan didapati mempunyai hubungan interpersonal yang positif berbanding dengan sekolah di kawasan bandar. Dapatan kajian juga mendapati bahawa pelajar-pelajar serta guru-guru yang berada di dalam sekolah yang berkesan sentiasa positif tentang pembelajaran di sekolah serta persekitaran di sekelilingnya. Dengan kata lain  sekolah berkesan berkaitan rapat dengan semua staf di dalamnya samada sentiasa ingin maju dan sentiasa memandang ke hadapan atau sentiasa berfokus tentang pembelajaran, sentiasa peka terhadap keperluan pelajarnya dan sentiasa berwawasan.

 

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melihat sekolah-sekolah yang dipilih menunjukkan keberkesanan dalam pencapaian samada pelajar, guru dan sekolah itu sendiri. Jika diteliti dari kriteria yang digunakan keberkesanan sekolah itu mementingkan;

i.                    Outcome dari segi pencapaian akademik dalam peperiksaan umum.

ii.                  ‘Proses’ bagi mencapai kecemerlangan akademik

iii.                Pengurusan dan pentadbiran sekolah

iv.                Iklim sekolah

v.                  Penglibatan PIBG (ibu bapa)

Pelajar dan guru di sekolah yang berkesan merasa sangat selesa ketika berada di perkarangan sekolah. Persekitaran sekolah sentiasa berada dalam keadaan bersih dan teratur. Sekolah yang berkesan mempunyai ruang yang mencukupi untuk pengajaran dan pembelajaran. Pelajar dan guru berbangga dengan kemudahan fizikal yang mereka ada dan sentiasa menolong untuk mengekalkan keadaan kemudahan tersebut dalam keadaan yang sehabis baik.

            Konsep mengenai iklim sekolah telah ditakrifkan dengan pelbagai cara, tetapi pada keseluruhannya adalah dipersetujui umum bahawa iklim sesebuah sekolah itu merupakan perasaan atau gambaran suasana yang seolah-olah dapat dirasakan ketika seseorang itu berada di sekolah tersebut. Menurut Halpin dan Croft (1966), di sekolah yang dapat memberikan rasa suasana yang selesa dari segi iklim sekolahnya, perkara berikut akan dapat diperhatikan :-

    1. Guru merasa selesa, yakin dan puas.
    2. Guru tidak merasa tertekan atau bercelaru.
    3. Pengetua mempamirkan keyakinan diri, bijaksana dan berlaku adil.
    4. Pengetua mudah dibawa berbincang dan mempunyai fikiran yang terbuka.
    5. Pengetua merupakan seorang pemimpin yang baik, mampu membimbing kakitangannya serta memperkembang potensi mereka.
    6. Pelajar merasa bangga terhadap hasil kerja mereka dan terhadap sekolah mereka.

Iklim sekolah akan mewujudkan suasana pembelajaran yang bermotivasi dan seterusnya membantu pelajar-pelajar memperoleh pencapaian yang baik dan guru-guru lebih puas untuk bekerja. Iklim yang positif sangat perlu wujud di sesebuah sekolah. Ini dikuatkan lagi melalui dapatan kajian oleh Shahril (1997), yang mengatakan iklim sekolah yang berkesan terhasil apabila suasana sekolah itu aman, cantik, selamat dan cukup ruang untuk belajar. Banguanan sekolah turut dijaga dengan baik dan kondusif untuk pengajaran dan pembelajaran. Ia penting untuk mempengaruhi psikologi dan emosi warga sekolah itu.

Faktor-faktor iklim sekolah di atas membantu mewujudkan sekolah berkesan. Namun begitu untuk mempastikan iklim yang bersesuaian adalah memerlukan gambaran yang lebih lengkap mengenai sekolah tersebut dan juga pemerhatian jangka panjang serta pemantauan yang kerap terhadap iklim sekolah. Ini adalah kerana faktor yang menentukan iklim yang sesuai adalah perkara yang tidak tetap dan berubah-ubah bergantung kepada keadaan semasa.

 

 

3.3 Keberkesanan Pengajaran Guru

Kejayaan dan kecemerlangan sekolah terletak pada keberkesanan seluruh sistem, nilai, kepercayaan, iklim, semangat dan budaya yang diamal dan dipamerkan setiap waktu oleh setiap orang pelajar, guru, kakitangan bukan guru dan juga pentadbir dan pengurus kurikulum sesebuah sekolah itu. Pihak yang amat besar kesan dan pengaruhnya terhadap kemajuan dan kecemerlangan ini tidak lain tidak bukan ialah guru-guru sendiri.

 

       Konsep dan pengertian keberkesanan sekolah boleh diukur berasaskan output atau hasil persekolahan (pencapaian akademik dan bukan akaemik) yang juga pencapaiannya lebih daripada apa yang diharapkan. Seterusnya proses juga dianggap satu kriteria pengukur keberkesanan sekolah misalnya aspek pentadbiran sekolah, kerjasama di kalangan warga sekolah, proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.

 

Keberkesanan pengajaran guru ini adalah penting kerana melalui teknik pengajaran yang berkesan akan melahirkan pelajar yang cemerlang. Ini disokong oleh kenyataan oleh Rotter (1996), di mana lokus kawalan adalah faktor yang dominan yang mana guru-guru mempengaruhi pencapaian pelajar-pelajar. Guru-guru yang boleh mengawal tindakan mereka untuk mencapai kejayaan akan mempunyai efikasi kendiri yang tinggi. Teori yang dinyatakan oleh Bandura (1977), yang mengenalpasti efikasi guru sebagai salah satu efikasi kendiri berdasarkan perspektif kongnitif sosialnya.  Setiap manusia mampu membentuk kepercayaan untuk membuat yang terbaik. Kepercayaan inilah yang akan menghasilkan usaha untuk berjaya dan akan mendorong guru-guru untuk berusaha dengan lebih ke arah pengajaran yang berkesan bagi menghasilkan pelajar yang cemerlang dan akhirnya sekolah yang berkesan.

 

Kenyataan ini turut mempunyai persamaan dengan kajian Sazali Yusoff (2004 ), yang dapat mencungkil satu faktor dalaman sekolah yang boleh diubah demi kejayaan sesebuah sekolah. Kajian menunjukkan yang pencapaian akademik murid sangat kuat dipengaruhi oleh efikasi kolektif guru-guru. Efikasi kolektif guru ini merupakan peramal yang kuat kepada kejayaan akademik murid. Apabila efikasi kolektif guru-guru meningkat maka pengajaran guru akan lebih berkualiti dan pencapaian pelajar-pelajar akan meningkat di samping menyumbang kepada keberkesanan sekolah.

 

Wu (2005), juga mendapati dari hasil kajiannya kadar keberkesanan pengajaran guru adalah sederhana tinggi di mana hubungan guru-pelajar yang akrab merupakan yang tertinggi. Kajian juga telah mendapati yang umur, jantina, pengalaman mengajar, lokasi sekolah, jenis sekolah, latarbelakang sekolah dan sejarah sekolah signifikan dengan keberkesanan sekolah manakala tahap pendidikan dan jawatan tidak mempunyai perhubungan dengan keberkesanan sekolah. Lebih tinggi keberkesanan pengajaran guru maka akan tinggilah keberkesanan sekolah. Penyelidik juga telah mendapati terdapat lima cara untuk mengesan keberkesanan sekolah iaitu jantina, jenis sekolah, efikasi guru, penggunaan bahan pengajaran yang sistematik dan iklim bilik darjah.

 

            Sekolah yang berkesan sepatutnya memberikan penekanan yang lebih kepada keberkesanan pengajaran guru yang akhirnya akan membawa kepada keberkesanan dan kecemerlangan sesebuah organisasi sekolah. Nordin (2004), mendapati tekanan kerja yang dialami oleh guru tiada kaitan dengan keberkesanan sekolah. Ini adalah kerana beban yang diberikan tiada kaitan dengan produktiviti guru. Oleh itu beliau mencadangkan beban tugas yang tiada kaitan dengan peningkatan keberkesanan sekolah hendaklah dikurangkan. Sebaliknya tumpuan perlu diberi kepada peningkatan mutu pengajaran dan pembelajaran kerana peningkatan keberkesanan sekolah lebih kepada menghasilkan pelajar yang berkualiti. Pengetua sendiri perlu bertindak sebagai pemimpin pengajaran dengan membimbing dan memudah cara kepada guru bagi meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran mereka. Guru-guru perlu diberi peluang untuk meningkatkan perkembangan diri melalui penguasaan kemahiran terkini.

 

            Begitu juga kepentingan keberkesanan pengajaran guru ini turut diakui oleh Ahmad Zabidi (2003), di dalam kajiannya terhadap ciri-ciri sekolah menengah agama berkesan. Hasil kajiannya mendapati ciri-ciri sekolah menengah agama berkesan banyak bergantung kepada sikap kerja guru-guru berbanding dengan peranan yang dimainkan oleh pengetua serta pelajarnya. Ini jelas menunjukkan yang kekuatan guru-guru melalui pengajaran yang berkesan mampu menyumbang kepada keberkesanan sekolah. Penumpuan terhadap kurikulum dan proses pengajaran dan pembelajaran adalah penting di dalam mewujudkan sekolah menengah agama yang berkesan. Dapatan ini menyamai dapatan-dapatan sebelumnya yang melihat keberkesanan pengajaran guru antara faktor keberkesanan sekolah.

 

            Menurut Rahimah Hj Ahmad (1998), guru merupakan faktor paling penting yang menjadi tunjang kepada sekolah berkesan kerana guru merupakan ‘technicians’ yang bertanggungjawab terhadap ‘core business of schools’ khususnya pembelajaran anak didiknya melalui pengajaran dan bimbingan. Pengajaran  guru yang berkesan, sekolah berkesan dan pencapaian pendidikan yang gemilang dan cemerlang bukan suatu yang mustahil untuk dicapai. Yang perlu dititikberatkan ialah kesediaan dan kesanggupan guru-guru sendiri mengubah paradigma, mengubah stail berfikir dan bertindak secara orang-orang professional dan yang paling penting menjadi seorang guru yang tidak mudah patah semangat dan kreatif di dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajarannya untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dan sekolah yang berkesan.

 

3.4  Sikap pelajar-pelajar.

 

Menurut Hussein (1993), keberkesanan sekolah lazimnya diukur dan dinilai dari segi kejayaan atau pencapaian sekolah dalam peperiksaan di samping mewujudkan rasa kepuasan kerja dalam sesebuah sekolah itu. Bagaimanapun, sekolah yang berkesan bukan sahaja sekolah yang dapat menghasilkan pencapaian akademik yang tinggi tetapi juga sekolah yang kurang menghadapi masalah disiplin seperti kerosakan harta benda sekolah, ponteng dan keciciran, di samping mendapat kepercayaan di kalangan masyarakat setempat dan guru-gurunya pula mendapat kepuasan bekerja. Walaupun begitu penekanan lebih tertumpu kepada pencapaian akademik kerana secara relatifnya pencapaian akademiknya mudah diukur melalui ujian kognitif berbanding dengan aspek-aspek lain khususnya aspek afektif.

 

Mengikut pandangan murid, sekolah yang berkesan ialah sekolah yang mempunyai guru-guru yang boleh mengajar dengan berkesan supaya pelajarnya jadi bijak, kreatif, sekolah yang persekitarannya cantik dan bersih serta sekolah yang cemerlang. Namun begitu secara umumnya boleh dirumuskan bahawa keberkesanan sekolah diukur berdasarkan hasilannya (seperti pencapaian akademik, moral, personel dan jasmani), keadaannya (persekitaran teratur) dan prosesnya (pengajaran guru, penglibatan ibu bapa dan sistem pentadbiran).

 

Kajian oleh Ahmad Zabidi ( 2003 ), turut memperlihatkan yang sikap pelajar yang positif adalah perlu untuk membentuk sekolah menengah agama yang berkesan. Walaupun ia merupakan ciri terendah dari senarai ciri sekolah menengah agama berkesan kajian sebelum ini mennggambarkan sikap pelajar turut mempengaruhi pencapaian mereka. Untuk mewujudkan kecemerlangan dan sekolah berkesan, sikap pelajar yang baik juga ialah mereka yang bukan sahaja menumpukan sepenuh perhatian kepada akademik semata-mata sebaliknya juga perlu aktif di dalam kegiatan kokurikulum. Pencapaian akademik yang tinggi di dalam suatu mata pelajaran mempunyai hubungan yang signifikan dengan sikap terhadap mata pelajaran tersebut. Memandangkan keberkesanan sekolah dinilai antaranya berdasarkan pencapaian dan akhlak pelajar, maka pembentukan sikap pelajar perlu diutamakan oleh pengurusan sekolah. Sekiranya sekolah hanya mampu menghasilkan pelajar yang cemerlang dari aspek intelek, sudah tentu ia tidak berjaya memenuhi matlamat pendidikan negara untuk melahirkan insan yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Sesebuah sekolah yang berjaya adalah sekolah yang mempunyai kadar keciciran kosong, di mana tidak ada pelajar yang tidak tahu membaca, menulis atau mengira. Begitu juga tidak ada sistem diskriminasi, setiap pelajar mendapat layanan yang adil  dari sekolah dan guru. Kemampuan sekolah yang berkesan mengesan kemajuan murid secara sistematik melalui pengesanan yang teratur iaitu setiap pengetua dan guru mengawasi kemajuan murid berpandukan kepada kehendak dan objektif pengajaran. Di sekolah berkesan murid digalakkan bertanggungjawab sepenuhnya menguruskan kegiatan seharian mereka seperti menjaga alat-alat kemudahan sekolah dan buku mereka. Sementara kerja rumah dan latihan diperbanyakkan dan diperiksa oleh guru. Kepentingan diletakkan  terhadap prestasi akademik yang tinggi dan murid digalakkan belajar dengan bersungguh-sungguh untuk berjaya. Setiap murid yang berjaya akan diberi penghargaan serta maklum balas yang cepat dan berterusan terhadap prestasi murid mereka.

            Murid memainkan peranan yang penting berbanding guru diamalkan di sesebuah sekolah yang bekesan. Sekolah memberi keyakinan kepada murid mereka bertanggung jawab sepenuhnya terhadap pelajaran mereka. Dalam kajian yang telah dibuat oleh Zulkifli dan Rahimah (1998), mereka telah menjawab persoalan apakah yang telah digunakan sebagai ukuran kepada keberkesanan sekolah. Melalui dapatan kajian, mereka berpendapat bahawa keberkesanan sekolah selalunya diukur dari segi output atau hasil persekolahan yang lazimnya dikaitkan dengan pencapaian akademik pelajar.

Apabila memperkatakan tentang sikap pelajar , aspek disiplin tidak boleh dipandang ringan. Disiplin atau peraturan sekolah adalah penting untuk mewujudkan persekitaran sekolah yang selesa dan harmoni. Sesebuah sekolah yang berkesan mempunyai disiplin yang teratur tanpa perlu peraturan ketat, selesa dan tenang untuk suasana proses pembelajaran.

            Pelajar-pelajar di sekolah berkesan perlu diterapkan dengan nilai-nilai murni. Nilai murni akan membentuk peribadi dan sahsiah pelajar yang cemerlang dan seterusnya masalah disiplin di sekolah dapat dikurangkan. Ada sesetengah pihak yang mengukur disiplin pelajar sebagai ukuran output sesuatu sekolah itu. Menurut kajian, sekolah yang berkesan adalah sekolah yang kurang mengalami masalah disiplin dan ponteng sekolah di samping mempunyai pencapaian akademik yang baik serta konsisten.

           Seperti yang kita sedia maklum, selalunya jika sesebuah sekolah mengalami masalah disiplin, ini akan menjejaskan reputasi pengetua, guru-guru, pelajar dan sekolah itu sendiri. Masalah disiplin yang dialami disekolah disusuli  dengan prestasi pencapaian pelajar yang kurang memuaskan  terutamanya di dalam peperiksaan awam seperti SPM dan PMR. Keadaan ini akan menjejaskan imej dan kepercayaan masyarakat terhadap sekolah berkenaan.

 

 

 

4.0 Kesimpulan

Kewujudan sesebuah sekolah berkesan banyak dimainkan oleh pengetuanya. Daripada apa yang telah saya bincangkan tadi, elemen-elemen dalam mewujudkan sekolah berkesan ialah kepimpinan pengetuanya dan disokong oleh iklim sekolah yang kondusif,  keberkesanan pengajaran guru dan sikap pelajar itu sendiri. Sebenarnya ketiga-tiga elemen tadi adalah berkait rapat dengan kepimpinan pengetua. Ketiga-ketiga elemen ini sebenarnya didorong oleh kepimpinan pengetua itu sendiri. Maka saya membuat kesimpulan bahawa elemen yang mewujudkan sekolah berkesan adalah bergantung sepenuhnya kepada gaya kepimpinan pengetua itu sendiri . Kepimpinan pengetualah yang menentukan jatuh bangunnya sekolah tersebut. Sebagai pemimpin utama di sekolah, pengurus sekolah berkemampuan mempengaruhi semua guru dan pelajar untuk melaksanakan program dan aktiviti yang telah dirancang ke arah mencapai matlamat dan objektif sekolah. Dengan kata lain, keberkesanan sekolah bergantung kepada keberkesanan kepimpinan sekolah khususnya kepimpinan pengetuanya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Rujukan Utama

 

Ahmad Zabidi bin Abdul Razak ( 2003 ). Ciri-ciri Sekolah Berkesan: Implikasinya

Terhadap Pengurusan Sekolah Agama.

 

Muhammad Faizal Abd Ghani dan Shahril@Charil Hj Marzuki (2008). Model  Sekolah    

            Berkesan :   Suatu Perubahan Berdasarkan Tuntutan Semasa.      

 

Mahawa binti Pilus  (2001). Perbezaan Stail Kepimpinan  Pengetua Sekolah

            Swasta dan Sekolah Kerajaan di Melaka.

                                                                                 

 

 

 

Rujukan Lain

 

Abdul Karim b Mohd Nor (1989). Characteristics of effective rural secondary schools in

Malaysia. Tesis PhD yang tidak diterbitkan. University of Wisconsin-Madisosn,

USA.

 

Ahmad Mohamad Sharif (1989). Leader Behavior, Organization Effectiveness and Job

Satisfaction Vocational Teachers in Malaysia, dissertasi PhD. Louisiana State

University.

 

Creemers, B. (1997). Effective schools and effective teachers: An international

perspective. Warwick, UK.

 

Edmonds, R. (1979).  Effective School for the Urban Poor. Educational Leadership,      37(1), 15-24.

 

Harris, A. (2002). School improvement for real. London : Routledge Falmer.

 

Hallinger, P., & Heck, R. H (1996). Reassessing the principal’s role in school

effectiveness: A review of empirical research, 1980-1995. Educational

Administration Quarterly, Feb 96. Vol.32 Issue 1.

 

Halpin, A. W. (1966). Theory and Research in Administration, New York: The Collier

Macmillan Co.

 

Hopkins, D. (2001). School improvement for real. London: RoutledgeFalmer.

 

Hussein Mahmood (1993), Kepemimpinan dan Keberkesanan Sekolah. Kuala Lumpur:

Dewan Bahasa dan Pustaka.

 

Hussein Mahmood (1997). Kepemimpinan dan keberkesanan sekolah (Edisi Kedua).                  Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

 

Levin, H. M. & Lockhead, M. E. (1991). Effective schools in developing countries. The

World Bank: Education and Employment Division, Population and Human

Resource Department.

 

Mortimore, P., Sammons,P., Stoll,L., Lewis,D. & Ecob,R. (1988). School matters.          Somerset : Open Books.

 

Mortimore, P. (1995). Key characterictics of effective schools. Seminar Sekolah      Berkesan. Kementerian Pendidikan, 13-14 Julai. Institut Aminuddin Baki.

 

Rutter, M., Maugham, B., Mortimore,P., Outson, J., & Smith,A. (1979). Fifteen thousand hours : Secondary schools and their effects on children. Cambridge,      MA : Harvard University Press.

 

 

Kementerian Pendidikan Malaysia (1989). Kajian Keberkesanan Sekolah.            Kuala Lumpur: Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia.

 

MacBeath, J. 1998. Effective school leadership: responding to change. London Paul

Chapman Publishing Ltd.

 

Mortimore, (1995). "Key Characteristics of Effective Schools". Kertas kerja Seminar Sekolah Efektif, Institut Aminudin Baki, Kementerian Pendidikan Malaysia.

 

Rahimah Haji Ahmad & Zulkifli A. Manaf (1996). Toward Developing a Profile of Efective and Less Effective  School.  Jurnal Pendidikan Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya , 17,  51-63.

 

Rahimah Haji Ahmad (1998). Ucap Utama (II) Profesionalisme guru dan sekolah berkesan. Prosiding seminar pendidikan guru untuk sekolah berkesan, Universiti Malaya. Kuala Lumpur.

 

Sackney, L. E. (1986). Practical strategies for improving school effectiveness. The Canadian School Executive, 6 (4): 15-20.

 

Segiovanni, T.J. (1998). Leadership as pedagogy, capital investment and school effectiveness. Journal of Education Management, 1(1). Pp. 37 - 46

 

Shahril @ charily Marzuki (1997).  Kajian Sekolah Berkesan Di Malaysia: Model

         Lima Faktor. Tesis Ph. D yang tidak diterbitkan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

 

Stringbield, S., & Teddlie, C. (1987). A time to summarize: Six years and three phases of

Lousiana school effectiveness study. Unpublished research report, Colorado,

USA.

 

Stogdill, R. M. (1974). Handbook of leadership: A Summary of Theory and Research.,

New York: The Free Press.

 

Wu, C. S. (1989). Relationship between primary school management models and school

effectiveness. Unpublished Doctoral Dissertation, National Chong University,

Taipei, Taiwan.

Wu, T. Y. (2005). Relationship between teachers’ teaching effectiveness and school

effectiveness in comprehensive high schools in Taiwanm Republic of China. Paper

presented at the International congress for School Effectiveness and Improvement

Conference, Barcelona, Spain.