Apakah yang anda faham dengan sekolah berkesan dan penambahbaikan sekolah?
1.0
Pendahuluan
Sekolah berkesan perlu dikaji
dan dilihat serta difahami konsep, ciri dan definisinya oleh semua warga
pendidikan. Penulisan yang akan saya bentangkan ialah berkaitan dengan peranan seorang
pengetua dan faktor-faktor lain yang menyumbang kepada sekolah berkesan
atau keberkesanan sekolah . Walau bagaimanapun hanya empat aspek yang akan
dihuraikan iaitu aspek kepemimpinan
pengetua, iklim sekolah yang kondusif, keberkesanan pengajaran guru dan sikap
pelajar-pelajarnya dan sebenarnya keempat-empat faktor ini adalah berkait rapat
dengan peranan pengetua.
Apabila memperkatakan tentang
keberkesanan sekolah, kita tidak boleh lari dari aspek kepemimpinan
pengetuanya. Menurut Stoghill (1974), kepemimpinan yang
cekap dan berkesan akan dapat meningkatkan kemajuan dan kejayaan sesuatu
organisasi. Begitu juga di
sekolah di mana pembentukan organisasi sekolah berkesan itu sangat bergantung
kepada kepemimpinan pengetuanya. Ini adalah disebabkan oleh tingkahlaku dan gaya kepemimpinan yang diamalkan akan turut
mempengaruhi suasana dan semangat subordinatnya.
Sekolah berkesan di
Malaysia
adalah dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Selain faktor yang timbul dari
keberkesanan kepemimpinan pengetua, faktor efikasi guru dan demografi guru
besar juga merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi keberkesanan sekolah.
Ini adalah disebabkan oleh seseorang guru besar atau pengetua itu akan
melibatkan hubungannya dengan guru dan
pelajar sewaktu memimpin organisasi sekolah ke arah kecemerlangan.
Indikator kualiti
yang digunakan untuk mengukur keberkesanan sesebuah sekolah itu selalunya
adalah yang berkaitan dengan kecemerlangan pencapaian akademik pelajar,
kepemimpinan pengetua, iklim sekolah, strategi dan teknik pembelajaran, budaya
dan nilai sesebuah sekolah serta pembangunan staf (Creemers 1997). Selain itu
salah satu faktor yang tidak kurang pentingnya menyumbang kepada keberkesanan
sekolah ialah keberkesanan pengajaran
guru. Kajian yang dilakukan oleh Stringfield & Teddlie (1987) telah
membuktikan hubungan ini.
Kajian berkaitan sekolah berkesan telah
mendapat perhatian ramai kerana individu mahupun organisasi tertentu di dalam
bidang pendidikan telah menyedari kepentingannya untuk mewujudkan sekolah
berkesan dalam kriteria akauntabiliti pendidikan. Ia
juga adalah bagi memenuhi matlamat pendidikan negara seperti yang ditekankan di
dalam Falsafah Pendidikan Negara.
2.0 Definisi, konsep dan ciri sekolah berkesan
Keberkesanan sekolah bukan
sahaja diukur dari segi kualiti hasil tetapi juga dari segi kesaksamaan
(equity), itulah apa yang didefinisikan oleh Edmonds (1979), mengenai sekolah
berkesan. Edmonds menyatakan, keberkesanan sesebuah sekolah itu boleh diukur
berdasarkan kejayaannya meningkatkan penguasaan akademik kanak-kanak dari
keluarga kurang berada sehinggakan kadar bilangan kanak-kanak yang kurang
berada yang boleh menguasai akademik
sama seperti bilangan anak-anak kelas menengah yang menguasainya. Sesebuah sekolah tidak layak
diiktiraf sebagai berkesan jika tidak memberi peluang pendidikan yang sama. Berdasarkan
kriteria ini, menurutnya, bilangan sekolah di Amerika Syarikat yang boleh
dianggap berkesan amat sedikit. Untuk memenuhi kriteria seperti yang diharapkan
tidak mustahil jika keseluruhan warga sekolah itu bekerjasama bergerak ke arah
pencapaian matlamatnya.
Empat cara bagi mengenalpasti sekolah yang berkesan menurut Rowan
(1983), ialah: -
(1) Menentukan kriteria yang khusus seperti peratus pelajar yang mencapai lebih
daripada
median kebangsaan.
(2) Analisis tren yang menunjukkan skor dalam gred yang
tertentu telah
meningkat dari semasa ke semasa
(3) Skor yang meningkat bagi sesuatu kohort
(4) Pencapaian sekolah berbanding dengan latar
belakang pelajarnya.
Namun
begitu definisi yang paling biasa digunakan dalam kajian-kajian tentang
keberkesanan sekolah ialah :
Sekolah yang mana sebahagian besar daripada
pelajar-pelajarnya mencapai tahap yang tinggi dalam prestasi akademik apabila
dibandingkan dengan sekolah-sekolah yang lain.
( Cuttance 1985 ).
Mengikut Jemaah Nazir Sekolah
Persekutuan, Kementerian Pendidikan Malaysia, sekolah berkesan adalah
berdasarkan pendapat Edmonds (1979), iaitu mempunyai fokus pengajaran yang
dinyatakan dengan jelas dan menggunakan penilaian serta penaksiran yang
sistematik. Harapan yang diletakkan kepada sekolah yang cemerlang ialah bahawa
pelajar-pelajarnya akan belajar dengan baik. Sekolah berkesan juga mempunyai
iklim yang teratur dan selamat bagi menggalakkan pengajaran dan pembelajaran
serta mempunyai pendidik yang kukuh sebagai pengetua.
Mortimore
(1995), telah memberikan sebelas ciri sekolah berkesan:-
i.
kepemimpin profesional.
ii.
perkongsian wawasan dan tujuan.
iii.
persekitaran pembelajaran dan
iklim sekolah yang baik.
iv.
tumpuan
kepada proses pengajaran dan pembelajaran.
v.
Pengajaran yang bertujuan.
vi.
jangkaan kejayaan yang tinggi.
vii.
pengukuhan yang positif.
viii.
pemantauan kemajuan.
ix.
Menghormati hak dan
tanggungjawab pelajar.
x.
hubungan rumah dengan sekolah.
xi.
organisasi pembelajaran.
Mortimore percaya berdasarkan ciri-ciri tersebut sekolah
akan menunjukkan keberkesanannya sebagai sebuah organisasi yang outputnya
diukur dari pencapaian dan keberhasilan pelajar meningkat lebih daripada apa
yang diharapkan.
Shahril Marzuki ( 1997), menyatakan terdapat lima ciri sekolah
untuk membina profil sekolah berkesan di Malaysia mendapati semua faktor
tersebut adalah positif . Sekolah yang berkesan mempunyai kepimpinan dan iklim
sekolah yang positif (selesa dan selamat), guru-guru menaruh harapan guru yang
tinggi terhadap penguasaan kemahiran asas pelajar, kekerapan mengadakan
penilaian, peranan persatuan ibu bapa dan guru, dan kemudahan fizikal (prasarana, kewangan) sekolah yang baik bagi mempertingkatkan
pencapaian pelajar. Berbanding dengan sekolah tidak berkesan mempunyai
faktor-faktor tersebut tetapi pada tahap atau darjah yang rendah dan kurang
efektif untuk mempertingkatkan pencapaian murid.
Sementara itu
Rahimah dan Zulkifli (1996), dalam meninjau sekolah berkesan dan tidak berkesan
menggunakan proksi iklim sekolah yang dikaitkan dengan hubungan interpersonel,
pengajaran dan pembelajaran, pentadbiran sekolah dan kemudahan fizikal.
3.0 Elemen- Elemen Mewujudkan Sekolah Berkesan
3.1 Peranan Kepemimpinan Pengetua
Kepemimpinan
pengetua adalah antara faktor yang menyumbang kepada keberkesanan sekolah. Ini
bersesuaian dengan pendapat Alma Haris (2002), yang
menyatakan sekolah berkesan adalah hasil dari kepemimpinan pengetua yang
bersifat ‘distributed leadership’ iaitu
yang berkongsi peranan secara kolektif dengan guru-gurunya untuk kecemerlangan
sekolah melalui pencapaian matlamat yang sama. Begitu juga dengan Tay (1984, di dalam Nordin Hj Yahya 2004), yang mendapati
kecemerlangan sesebuah sekolah berpunca dari kepemimpinan pengetuanya. Tay juga berpendapat kejayaan sistem pentadbiran sesebuah
sekolah adalah bergantung kepada kualiti kemudahan sekolah, kualiti kurikulum,
sumber pengajaran, kualiti kepemimpinan
pengetua dan kemahiran profesional guru-gurunya. Pembentukan organisasi
sekolah yang berkesan sangat bergantung kepada kualiti kepemimpinan
pengetuanya. Menurut Stoghill (1974) pula, kepemimpinan yang cekap dan berkesan
akan dapat meningkatkan kemajuan dan kejayaan sesuatu organisasi. Ini adalah
kerana tingkahlaku dan gaya
kepemimpinan yang diamalkan oleh seorang pemimpin itu yang akan mempengaruhi
suasana dan semangat kerja pekerja-pekerjanya.
Kajian yang
dijalankan oleh Nordin (2004), ke atas lima buah sekolah menengah
bantuan penuh kerajaan mendapati pada keseluruhannya keberkesanan organisasi
adalah selari dengan dapatan kajian Ahmad Mohammad Shariff (1989) ke atas
sekolah-sekolah vokasional seluruh negara. Nordin mendapati terdapatnya
hubungan antara tingkahlaku kepemimpinan pengetua dengan sekolah berkesan.
Beliau mendapati pada keseluruhannya di dalam aspek kepemimpinan pengetua,
pengetua mengamalkan kepemimpinan yang seimbang dari tingkahlaku permulaan
struktur tugas dan struktur konsiderasi. Keberkesanan organisasi sekolah pula
pada keseluruhannya berada pada tahap sederhana. Dapatan ini turut disokong
oleh hasil kajian terdahulu yang dilakukan.
Kepentingan
tingkahlaku dan gaya
kepemimpinan pengetua di dalam mengerakkan sekolah ke arah sekolah berkesan
turut dinyatakan oleh Ahmad Zabidi
( 2003), di dalam kajiannya mengenai ciri-ciri
sekolah berkesan : Implikasinya ke atas pengurusan sekolah agama. Dapatan kajiannya mendapati kepemimpinan pengetua bukanlah merupakan
faktor terpenting berbanding kajian sekolah sebelum ini. Hasil kajian Ahmad
Zabidi ini menyerupai pandangan Abd. Hamid Othman (1992), yang mendapati
kelemahan yang perlu diatasi segera di sekolah-sekolah agama ialah kecekapan
dan kelicinan pentadbirannya. Ini sepatutnya menyedarkan pengetua-pengetua
untuk meningkatkan kualiti kepemimpinannya dengan mendalami ilmu untuk
meningkatkan lagi kebekesanan sekolah kerana peranan pengetua cukup penting
seperti mana menurut Abdul Karim Mohd Nor (1989), yang mengatakan peranan
pemimpin sekolah amat penting di dalam melahirkan sekolah berkesan.
Peranan pengetua di
dalam memimpin guru-guru dan pelajar-pelajarnya ke arah melahirkan sebuah
sekolah berkesan juga turut dinyatakan oleh Wu (1989), di dalam kajiannya di Taiwan
berkaitan dengan sekolah berkesan. Beliau menyatakan di antara indikator
sekolah berkesan itu ialah perancangan dan iklim sekolah, kualiti pengajaran
guru, tingkahlaku pelajar, komunikasi pentadbiran, pencapaian akademik pelajar,
kepuasan kerja guru, penyusunan kurikulum, hubungan ibu bapa dan sekolah,
hubungan guru-pelajar dan kepemimpinan pengetua. Ini jelas menunjukkan bagi mewujudkan
sekolah yang berkesan kepemimpinan pengetua itu adalah antara faktor yang
diambil kira dan penting.
Hussein
Mahmood (1993), pula melihat pengetua atau guru besar ialah orang yang
terpenting di dalam memimpin sebuah sekolah bagi mencapai matlamat sekolah. Ini
jelas menunjukkan yang sesebuah sekolah yang berkesan itu mempunyai stail atau gaya kepemimpinan yang
turut berkesan.
Sekolah-sekolah
agama di Malaysia
juga turut tidak ketinggalan dikaji aspek keberkesanan sekolahnya. Hasil dari
kajian yang telah dijalankan oleh Ahmad Zabidi (2003), telah merumuskan sepuluh
ciri sekolah menengah agama berkesan iaitu harapan yang tinggi oleh para guru,
iklim sekolah yang kondusif, pengukuhan yang positif, kepemimpinan pengetua yang professional, pemantauan yang berterusan
terhadap perkembangan pelajar, perkongsian visi dan matlamat yang jelas,
program perkembangan staf, penumpuan terhadap kurikulum dan pengajaran,
permuafakatan sekolah dan rumah serta akhirnya ialah sikap pelajar yang positif.
Kesemua ciri yang dinyatakan menyamai ciri-ciri yang ditemui dalam kajian
terdahulu yang dijalankan terhadap sekolah awam dan sekolah vokasional. Antara
kelainannya ialah ciri sekolah menengah agama berkesan banyak bergantung kepada
sikapp kerja guru berbanding peranan yang dimainkan oleh pengetua. Ini beliau
nyatakan sebagai bukan sesuatu yang pelik kerana menurutnya sekolah-sekolah
agama mempunyai kekurangan dari aspek kecekapan pentadbiran. Beliau turut
mencadangkan agar program latihan kepengetuaan bagi pengetua-pengetua sekolah
agama dan aspek yang perlu diberi penekanan ialah aspek pembangunan diri,
budaya kualiti, profil pengetua berkesan, komunikasi dan pembinaan pasukan.
Melalui latihan dan kursus sebegini dilihat akan mampu meningkatkan lagi kualiti
kepemimpinan pengetua untuk menguruskan sekolah sehingga meningkatkan kuantiti
sekolah menengah agama berkesan. Ia bersesuaian dengan pendapat Edmonds (1979), “Principals can make a difference”.
3.2 Iklim sekolah yang kondusif
Walau apa pun ciri-ciri
sekolah berkesan yang dihasilkan oleh pengkaji-pengkaji, namun begitu, hampir
kesemuanya memperkatakan tentang ciri-ciri sekolah berkesan ialah kepemimpinan
pengetua, iklim sekolah yang kondusif,
peranan guru yang berkesan dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran,
sikap pelajar yang positif dan pemuafakatan di antara sekolah dan rumah. Antara
kajian yang memperlihatkan akan kepentingan iklim sekolah yang kondusif di
dalam mempengaruhi keberkesanan sekolah ialah Rahimah dan Zulkifli (1998) dan Mortimore
& Sacknay (1986).
Ini turut ditemui
di dalam kajian yang dijalankan oleh Ahmad Zabidi (2003), di mana beliau telah
mendapatkan purata nilai min yang kedua tertinggi bagi iklim sekolah yang kondusif di dalam ciri sekolah agama yang
berkesan. Kajian beliau juga menunjukkan ciri iklim sekolah turut membantu ke
arah keberkesanan sekolah. Dengan itu, warga sekolah perlulah membentuk budaya
hidup beragama sebagai iklim sekolah agama berkesan kerana budaya hidup
beragama ini bukan sahaja mengatasi masalah disiplin bahkan ia turut membantu
meningkatkan prestasi akademik pelajar. Peranan utama perlu dimainkan oleh
pengurusan sekolah agama terutamanya pengetua untuk membentuk iklim yang
bersesuaian kerana pengetua mempunyai kemampuan untuk melaksanakannya.
Iklim sekolah yang berkesan ialah sekolah yang mampu mewujudkan
integrasi dan keharmonian sesama pelajar-pelajarnya yang berbeza dan
mengurangkan perbezaan sesama mereka. Pengurusan sekolah agama perlu mewujudkan
iklim sekolah agama yang disepadukan di antara iklim yang bersifat luaran
seperti persekitaran sekolah yang bersih dan cantik serta hubungan komunikasi
yang baik dan juga pembentukan iklim dalaman seperti penerapan nilai keagamaan
di dalam kehidupan seharian di sekolah. Melalui kesepaduan iklim-iklim ini
pihak sekolah bukan sahaja mampu menghasilkan pelajar-pelajar yang cemerlang
dari segi akademik bahkan cemerlang dari aspek akhlak dan keperibadian.
Dapatan di atas mengenai kepentingan iklim sekolah yang
kondusif bagi menghasilkan sebuah sekolah yang berkesan turut diakui oleh Creemers
(1997), yang menyatakan antara kualiti indikator mengukur sekolah berkesan
ialah melalui pencapaian akademik pelajar, iklim
sekolah, nilai dan budaya sekolah, teknik pengajaran dan pembelajaran,
kepemimpinan pengetua dan perkembangan staf.
Kajian yang dijalankan oleh Wu (2005), di Taiwan turut
menyatakan akan kepentingan iklim bilik darjah dan sekolah di dalam menyumbang
kepada pembentukan sekolah berkesan. Beliau menyatakan yang iklim sekolah
adalah di antara lima penentu utama sekolah
berkesan di Taiwan .
Menurutnya bagi meningkatkan lagi keberkesanan sesebuah sekolah maka penekanan
perlu diberikan terhadap kelima-lima faktor penentu yang dinyatakan termasuklah
iklim sekolah yang kondusif.
Rahimah dan Zulkifli (1996), juga telah melihat yang
iklim dan kemudahan fizikal turut menyumbang kepada sekolah berkesan. Guru-guru
dan pelajar-pelajar perlu berasa selesa apabila berada di sekolah. Persekitaran
sekolah yang bersih dan berada di dalam keadaan yang teratur akan mengalakkan
lagi proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan bagi melahirkan
pelajar-pelajar yang cemerlang dan seterusnya ke arah sekolah yang berkesan.
Rahimah dan Zulkifli (1996), dalam meninjau sekolah
berkesan dan tidak berkesan menggunakan proksi iklim sekolah yang dikaitkan
dengan hubungan interpersonel, pengajaran dan pembelajaran, pentadbiran sekolah
dan kemudahan fizikal. Kajian mendapati terdapat perbezaan yang signifikan
antara sekolah-sekolah yang dikaji. Tiga daripada empat buah sekolah luar
bandar mempunyai skor yang tertinggi untuk skala Perhubungan Interpersonal. Dua
daripadanya adalah dari sekolah berkesan manakala satu daripada sekolah kurang
berkesan didapati mempunyai hubungan interpersonal yang positif berbanding
dengan sekolah di kawasan bandar. Dapatan kajian juga mendapati bahawa
pelajar-pelajar serta guru-guru yang berada di dalam sekolah yang berkesan
sentiasa positif tentang pembelajaran di sekolah serta persekitaran di
sekelilingnya. Dengan kata lain sekolah
berkesan berkaitan rapat dengan semua staf di dalamnya samada sentiasa ingin
maju dan sentiasa memandang ke hadapan atau sentiasa berfokus tentang
pembelajaran, sentiasa peka terhadap keperluan pelajarnya dan sentiasa
berwawasan.
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melihat
sekolah-sekolah yang dipilih menunjukkan keberkesanan dalam pencapaian samada
pelajar, guru dan sekolah itu sendiri. Jika diteliti dari kriteria yang
digunakan keberkesanan sekolah itu mementingkan;
i.
Outcome dari segi pencapaian akademik
dalam peperiksaan umum.
ii.
‘Proses’
bagi mencapai kecemerlangan akademik
iii.
Pengurusan dan pentadbiran
sekolah
iv.
Iklim sekolah
v.
Penglibatan PIBG (ibu bapa)
Pelajar dan
guru di sekolah yang berkesan merasa sangat selesa ketika berada di perkarangan
sekolah. Persekitaran sekolah sentiasa berada dalam keadaan bersih dan teratur.
Sekolah yang berkesan mempunyai ruang yang mencukupi untuk pengajaran dan
pembelajaran. Pelajar dan guru berbangga dengan kemudahan fizikal yang mereka
ada dan sentiasa menolong untuk mengekalkan keadaan kemudahan tersebut dalam
keadaan yang sehabis baik.
Konsep
mengenai iklim sekolah telah ditakrifkan dengan pelbagai cara, tetapi pada
keseluruhannya adalah dipersetujui umum bahawa iklim sesebuah sekolah itu
merupakan perasaan atau gambaran suasana yang seolah-olah dapat dirasakan
ketika seseorang itu berada di sekolah tersebut. Menurut Halpin dan Croft (1966),
di sekolah yang dapat memberikan rasa suasana yang selesa dari segi iklim
sekolahnya, perkara berikut akan dapat diperhatikan :-
- Guru merasa selesa, yakin dan puas.
- Guru
tidak merasa tertekan atau bercelaru.
- Pengetua
mempamirkan keyakinan diri, bijaksana dan berlaku adil.
- Pengetua
mudah dibawa berbincang dan mempunyai fikiran yang terbuka.
- Pengetua
merupakan seorang pemimpin yang baik, mampu membimbing kakitangannya
serta memperkembang potensi mereka.
- Pelajar
merasa bangga terhadap hasil kerja mereka dan terhadap sekolah mereka.
Iklim sekolah
akan mewujudkan suasana pembelajaran yang bermotivasi dan seterusnya membantu
pelajar-pelajar memperoleh pencapaian yang baik dan guru-guru lebih puas untuk
bekerja. Iklim yang positif sangat perlu wujud di sesebuah sekolah. Ini
dikuatkan lagi melalui dapatan kajian oleh Shahril (1997), yang mengatakan
iklim sekolah yang berkesan terhasil apabila suasana sekolah itu aman, cantik,
selamat dan cukup ruang untuk belajar. Banguanan sekolah turut dijaga dengan
baik dan kondusif untuk pengajaran dan pembelajaran. Ia penting untuk
mempengaruhi psikologi dan emosi warga sekolah itu.
Faktor-faktor
iklim sekolah di atas membantu mewujudkan sekolah berkesan. Namun begitu untuk
mempastikan iklim yang bersesuaian adalah memerlukan gambaran yang lebih
lengkap mengenai sekolah tersebut dan juga pemerhatian jangka panjang serta
pemantauan yang kerap terhadap iklim sekolah. Ini adalah kerana faktor yang
menentukan iklim yang sesuai adalah perkara yang tidak tetap dan berubah-ubah
bergantung kepada keadaan semasa.
3.3 Keberkesanan Pengajaran Guru
Kejayaan dan kecemerlangan sekolah
terletak pada keberkesanan seluruh sistem, nilai, kepercayaan, iklim, semangat
dan budaya yang diamal dan dipamerkan setiap waktu oleh setiap orang pelajar,
guru, kakitangan bukan guru dan juga pentadbir dan pengurus kurikulum sesebuah
sekolah itu. Pihak yang amat besar kesan dan pengaruhnya terhadap kemajuan dan
kecemerlangan ini tidak lain tidak bukan ialah guru-guru sendiri.
Konsep
dan pengertian keberkesanan sekolah boleh diukur berasaskan output atau hasil
persekolahan (pencapaian akademik dan bukan akaemik) yang juga pencapaiannya
lebih daripada apa yang diharapkan. Seterusnya proses
juga dianggap satu kriteria pengukur keberkesanan sekolah misalnya aspek
pentadbiran sekolah, kerjasama di kalangan warga sekolah, proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.
Keberkesanan pengajaran guru
ini adalah penting kerana melalui teknik pengajaran yang berkesan akan
melahirkan pelajar yang cemerlang. Ini disokong oleh kenyataan oleh Rotter (1996),
di mana lokus kawalan adalah faktor yang dominan yang mana guru-guru
mempengaruhi pencapaian pelajar-pelajar. Guru-guru yang boleh mengawal tindakan
mereka untuk mencapai kejayaan akan mempunyai efikasi kendiri yang tinggi.
Teori yang dinyatakan oleh Bandura (1977), yang mengenalpasti efikasi guru
sebagai salah satu efikasi kendiri berdasarkan perspektif kongnitif
sosialnya. Setiap manusia mampu
membentuk kepercayaan untuk membuat yang terbaik. Kepercayaan inilah yang akan
menghasilkan usaha untuk berjaya dan akan mendorong guru-guru untuk berusaha
dengan lebih ke arah pengajaran yang berkesan bagi menghasilkan pelajar yang
cemerlang dan akhirnya sekolah yang berkesan.
Kenyataan ini turut mempunyai
persamaan dengan kajian Sazali Yusoff (2004 ), yang dapat mencungkil satu
faktor dalaman sekolah yang boleh diubah demi kejayaan sesebuah sekolah. Kajian
menunjukkan yang pencapaian akademik murid sangat kuat dipengaruhi oleh efikasi
kolektif guru-guru. Efikasi kolektif guru ini merupakan peramal yang kuat
kepada kejayaan akademik murid. Apabila efikasi kolektif guru-guru meningkat
maka pengajaran guru akan lebih
berkualiti dan pencapaian pelajar-pelajar akan meningkat di samping
menyumbang kepada keberkesanan sekolah.
Wu (2005), juga mendapati dari
hasil kajiannya kadar keberkesanan pengajaran guru adalah sederhana tinggi di
mana hubungan guru-pelajar yang akrab merupakan yang tertinggi. Kajian juga
telah mendapati yang umur, jantina, pengalaman mengajar, lokasi sekolah, jenis
sekolah, latarbelakang sekolah dan sejarah sekolah signifikan dengan
keberkesanan sekolah manakala tahap pendidikan dan jawatan tidak mempunyai
perhubungan dengan keberkesanan sekolah. Lebih tinggi keberkesanan pengajaran guru maka akan
tinggilah keberkesanan sekolah. Penyelidik juga telah mendapati terdapat lima cara untuk mengesan
keberkesanan sekolah iaitu jantina, jenis sekolah, efikasi guru, penggunaan
bahan pengajaran yang sistematik dan iklim bilik darjah.
Sekolah yang
berkesan sepatutnya memberikan penekanan yang lebih kepada keberkesanan
pengajaran guru yang akhirnya akan membawa kepada keberkesanan dan
kecemerlangan sesebuah organisasi sekolah. Nordin (2004), mendapati tekanan
kerja yang dialami oleh guru tiada kaitan dengan keberkesanan sekolah. Ini
adalah kerana beban yang diberikan tiada kaitan dengan produktiviti guru. Oleh
itu beliau mencadangkan beban tugas yang tiada kaitan dengan peningkatan
keberkesanan sekolah hendaklah dikurangkan. Sebaliknya tumpuan perlu diberi
kepada peningkatan mutu pengajaran dan pembelajaran kerana peningkatan
keberkesanan sekolah lebih kepada menghasilkan pelajar yang berkualiti.
Pengetua sendiri perlu bertindak sebagai pemimpin pengajaran dengan membimbing
dan memudah cara kepada guru bagi meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran
mereka. Guru-guru perlu diberi peluang untuk meningkatkan perkembangan diri
melalui penguasaan kemahiran terkini.
Begitu juga
kepentingan keberkesanan pengajaran guru ini turut diakui oleh Ahmad Zabidi (2003),
di dalam kajiannya terhadap ciri-ciri sekolah menengah agama berkesan. Hasil
kajiannya mendapati ciri-ciri sekolah menengah agama berkesan banyak bergantung
kepada sikap kerja guru-guru berbanding dengan peranan yang dimainkan oleh
pengetua serta pelajarnya. Ini jelas menunjukkan yang kekuatan guru-guru
melalui pengajaran yang berkesan
mampu menyumbang kepada keberkesanan sekolah. Penumpuan terhadap kurikulum dan
proses pengajaran dan pembelajaran adalah penting di dalam mewujudkan sekolah
menengah agama yang berkesan. Dapatan ini menyamai dapatan-dapatan sebelumnya
yang melihat keberkesanan pengajaran guru antara faktor keberkesanan sekolah.
Menurut Rahimah Hj
Ahmad (1998), guru merupakan faktor paling penting yang menjadi tunjang kepada
sekolah berkesan kerana guru merupakan ‘technicians’ yang bertanggungjawab
terhadap ‘core business of schools’ khususnya pembelajaran anak didiknya
melalui pengajaran dan bimbingan. Pengajaran guru yang berkesan, sekolah berkesan dan
pencapaian pendidikan yang gemilang dan cemerlang bukan suatu yang mustahil untuk
dicapai. Yang perlu dititikberatkan ialah kesediaan dan kesanggupan guru-guru
sendiri mengubah paradigma, mengubah stail berfikir dan bertindak secara
orang-orang professional dan yang paling penting menjadi seorang guru yang
tidak mudah patah semangat dan kreatif di dalam melaksanakan proses pengajaran
dan pembelajarannya untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dan sekolah yang
berkesan.
3.4 Sikap pelajar-pelajar.
Menurut Hussein (1993), keberkesanan sekolah lazimnya
diukur dan dinilai dari segi kejayaan atau pencapaian sekolah dalam peperiksaan
di samping mewujudkan rasa kepuasan kerja dalam sesebuah sekolah itu.
Bagaimanapun, sekolah yang berkesan bukan sahaja sekolah yang dapat
menghasilkan pencapaian akademik yang tinggi tetapi juga sekolah yang kurang
menghadapi masalah disiplin seperti kerosakan harta benda sekolah, ponteng dan
keciciran, di samping mendapat kepercayaan di kalangan masyarakat setempat dan
guru-gurunya pula mendapat kepuasan bekerja. Walaupun begitu penekanan lebih
tertumpu kepada pencapaian akademik kerana secara relatifnya pencapaian
akademiknya mudah diukur melalui ujian kognitif berbanding dengan aspek-aspek
lain khususnya aspek afektif.
Mengikut pandangan murid, sekolah yang berkesan ialah
sekolah yang mempunyai guru-guru yang boleh mengajar dengan berkesan supaya
pelajarnya jadi bijak, kreatif, sekolah yang persekitarannya cantik dan bersih
serta sekolah yang cemerlang. Namun begitu secara umumnya boleh dirumuskan
bahawa keberkesanan sekolah diukur berdasarkan hasilannya (seperti pencapaian
akademik, moral, personel dan jasmani), keadaannya (persekitaran teratur) dan
prosesnya (pengajaran guru, penglibatan ibu bapa dan sistem pentadbiran).
Kajian oleh Ahmad Zabidi ( 2003 ), turut memperlihatkan
yang sikap pelajar yang positif adalah perlu untuk membentuk sekolah menengah
agama yang berkesan. Walaupun ia merupakan ciri terendah dari senarai ciri
sekolah menengah agama berkesan kajian sebelum ini mennggambarkan sikap pelajar
turut mempengaruhi pencapaian mereka. Untuk mewujudkan kecemerlangan dan
sekolah berkesan, sikap pelajar yang baik juga ialah mereka yang bukan sahaja
menumpukan sepenuh perhatian kepada akademik semata-mata sebaliknya juga perlu
aktif di dalam kegiatan kokurikulum. Pencapaian akademik yang tinggi di dalam
suatu mata pelajaran mempunyai hubungan yang signifikan dengan sikap terhadap
mata pelajaran tersebut. Memandangkan keberkesanan sekolah dinilai antaranya
berdasarkan pencapaian dan akhlak pelajar, maka pembentukan sikap pelajar perlu
diutamakan oleh pengurusan sekolah. Sekiranya sekolah hanya mampu menghasilkan
pelajar yang cemerlang dari aspek intelek, sudah tentu ia tidak berjaya
memenuhi matlamat pendidikan negara untuk melahirkan insan yang seimbang dari
aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Sesebuah sekolah yang berjaya
adalah sekolah yang mempunyai kadar keciciran kosong, di mana tidak ada pelajar
yang tidak tahu membaca, menulis atau mengira. Begitu juga tidak ada sistem
diskriminasi, setiap pelajar mendapat layanan yang adil dari sekolah dan guru. Kemampuan sekolah yang
berkesan mengesan kemajuan murid secara sistematik melalui pengesanan yang
teratur iaitu setiap pengetua dan guru mengawasi kemajuan murid berpandukan
kepada kehendak dan objektif pengajaran. Di sekolah berkesan murid digalakkan
bertanggungjawab sepenuhnya menguruskan kegiatan seharian mereka seperti
menjaga alat-alat kemudahan sekolah dan buku mereka. Sementara kerja rumah dan
latihan diperbanyakkan dan diperiksa oleh guru. Kepentingan diletakkan terhadap prestasi akademik yang tinggi dan
murid digalakkan belajar dengan bersungguh-sungguh untuk berjaya. Setiap murid
yang berjaya akan diberi penghargaan serta maklum balas yang cepat dan
berterusan terhadap prestasi murid mereka.
Murid
memainkan peranan yang penting berbanding guru diamalkan di sesebuah sekolah
yang bekesan. Sekolah memberi keyakinan kepada murid mereka bertanggung jawab
sepenuhnya terhadap pelajaran mereka. Dalam kajian yang telah dibuat oleh
Zulkifli dan Rahimah (1998), mereka telah menjawab persoalan apakah yang telah
digunakan sebagai ukuran kepada keberkesanan sekolah. Melalui dapatan kajian,
mereka berpendapat bahawa keberkesanan sekolah selalunya diukur dari segi
output atau hasil persekolahan yang lazimnya dikaitkan dengan pencapaian
akademik pelajar.
Apabila
memperkatakan tentang sikap pelajar , aspek disiplin tidak boleh dipandang
ringan. Disiplin atau peraturan sekolah adalah penting untuk mewujudkan
persekitaran sekolah yang selesa dan harmoni. Sesebuah sekolah yang berkesan
mempunyai disiplin yang teratur tanpa perlu peraturan ketat, selesa dan tenang
untuk suasana proses pembelajaran.
Pelajar-pelajar
di sekolah berkesan perlu diterapkan dengan nilai-nilai murni. Nilai murni akan
membentuk peribadi dan sahsiah pelajar yang cemerlang dan seterusnya masalah
disiplin di sekolah dapat dikurangkan. Ada sesetengah pihak yang mengukur
disiplin pelajar sebagai ukuran output sesuatu sekolah itu. Menurut kajian,
sekolah yang berkesan adalah sekolah yang kurang mengalami masalah disiplin dan
ponteng sekolah di samping mempunyai pencapaian akademik yang baik serta
konsisten.
Seperti yang kita sedia maklum,
selalunya jika sesebuah sekolah mengalami masalah disiplin, ini akan
menjejaskan reputasi pengetua, guru-guru, pelajar dan sekolah itu sendiri. Masalah
disiplin yang dialami disekolah disusuli dengan prestasi pencapaian pelajar yang kurang
memuaskan terutamanya di dalam
peperiksaan awam seperti SPM dan PMR. Keadaan ini akan menjejaskan imej dan
kepercayaan masyarakat terhadap sekolah berkenaan.
4.0 Kesimpulan
Kewujudan sesebuah sekolah berkesan banyak
dimainkan oleh pengetuanya. Daripada apa yang telah saya bincangkan tadi,
elemen-elemen dalam mewujudkan sekolah berkesan ialah kepimpinan pengetuanya
dan disokong oleh iklim sekolah yang kondusif, keberkesanan pengajaran guru dan sikap pelajar
itu sendiri. Sebenarnya
ketiga-tiga elemen tadi adalah berkait rapat dengan kepimpinan pengetua. Ketiga-ketiga
elemen ini sebenarnya didorong oleh kepimpinan pengetua itu sendiri. Maka saya membuat
kesimpulan bahawa elemen yang mewujudkan sekolah berkesan adalah bergantung
sepenuhnya kepada gaya kepimpinan pengetua itu sendiri . Kepimpinan pengetualah
yang menentukan jatuh bangunnya sekolah tersebut. Sebagai pemimpin utama di
sekolah, pengurus sekolah berkemampuan mempengaruhi semua guru dan pelajar
untuk melaksanakan program dan aktiviti yang telah dirancang ke arah mencapai
matlamat dan objektif sekolah. Dengan kata lain, keberkesanan sekolah
bergantung kepada keberkesanan kepimpinan sekolah khususnya kepimpinan
pengetuanya.
Rujukan
Utama
Ahmad Zabidi bin Abdul Razak ( 2003 ). Ciri-ciri
Sekolah Berkesan: Implikasinya
Terhadap
Pengurusan Sekolah Agama.
Muhammad Faizal Abd Ghani
dan Shahril@Charil Hj Marzuki (2008). Model Sekolah
Berkesan : Suatu Perubahan
Berdasarkan Tuntutan Semasa.
Mahawa binti Pilus (2001). Perbezaan
Stail Kepimpinan Pengetua Sekolah
Swasta dan Sekolah Kerajaan di
Melaka.
Rujukan
Lain
Abdul Karim b Mohd Nor (1989). Characteristics
of effective rural secondary schools in
Malaysia. Tesis PhD yang tidak diterbitkan. University of
Wisconsin-Madisosn,
USA.
Ahmad Mohamad Sharif (1989). Leader
Behavior, Organization Effectiveness and Job
Satisfaction
Vocational Teachers in Malaysia,
dissertasi PhD. Louisiana State
University.
Creemers, B. (1997). Effective
schools and effective teachers: An international
perspective. Warwick, UK.
Harris, A. (2002). School improvement for real. London :
Routledge Falmer.
Hallinger, P., & Heck, R. H (1996). Reassessing the principal’s role in
school
effectiveness: A review of empirical research,
1980-1995. Educational
Administration Quarterly, Feb 96. Vol.32 Issue 1.
Halpin, A. W. (1966). Theory and
Research in Administration, New York: The Collier
Macmillan Co.
Hopkins, D. (2001). School
improvement for
real. London : RoutledgeFalmer.
Hussein Mahmood
(1993), Kepemimpinan dan Keberkesanan
Sekolah. Kuala Lumpur :
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hussein Mahmood (1997). Kepemimpinan dan keberkesanan sekolah
(Edisi Kedua). Kuala Lumpur : Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Levin, H. M.
& Lockhead, M. E. (1991). Effective
schools in developing countries. The
World Bank: Education and Employment Division, Population and Human
Resource Department.
Mortimore, P.,
Sammons,P., Stoll,L., Lewis,D. & Ecob,R. (1988). School matters. Somerset : Open Books.
Mortimore, P.
(1995). Key characterictics of effective
schools. Seminar Sekolah Berkesan. Kementerian Pendidikan, 13-14
Julai. Institut Aminuddin Baki.
Rutter, M., Maugham, B., Mortimore,P., Outson, J.,
& Smith,A. (1979). Fifteen thousand hours : Secondary schools and their
effects on children. Cambridge , MA : Harvard University Press.
Kementerian Pendidikan Malaysia (1989). Kajian
Keberkesanan Sekolah. Kuala
Lumpur: Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia.
MacBeath, J. 1998. Effective school
leadership: responding to change. London Paul
Chapman Publishing Ltd.
Mortimore, (1995). "Key
Characteristics of Effective Schools". Kertas
kerja Seminar Sekolah Efektif, Institut Aminudin Baki, Kementerian
Pendidikan Malaysia .
Rahimah
Haji Ahmad & Zulkifli A. Manaf (1996). Toward Developing a Profile of Efective and Less Effective School . Jurnal
Pendidikan Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya , 17, 51-63.
Rahimah
Haji Ahmad (1998). Ucap Utama (II) Profesionalisme guru dan sekolah berkesan. Prosiding seminar pendidikan guru untuk
sekolah berkesan, Universiti Malaya. Kuala
Lumpur .
Sackney,
L. E. (1986). Practical strategies for improving school effectiveness. The Canadian School Executive, 6 (4): 15-20.
Segiovanni,
T.J. (1998). Leadership as pedagogy, capital investment and school
effectiveness. Journal of Education
Management, 1(1). Pp. 37 - 46
Shahril @ charily Marzuki (1997).
Kajian Sekolah Berkesan Di Malaysia : Model
Stringbield, S., & Teddlie, C. (1987). A time to summarize: Six years and three
phases of
Lousiana school effectiveness study. Unpublished research report, Colorado ,
Stogdill, R. M. (1974). Handbook of leadership: A Summary of
Theory and Research. ,
Wu, C. S. (1989). Relationship
between primary school management models and school
effectiveness. Unpublished Doctoral Dissertation, National Chong
University ,
Wu, T. Y. (2005). Relationship
between teachers’ teaching effectiveness and school
effectiveness
in comprehensive high schools in Taiwanm Republic of China. Paper
presented at the International congress for School
Effectiveness and Improvement
Conference, Barcelona, Spain.
No comments:
Post a Comment